MUHYIDDIN Yassin angkat sumpah pada 1 Mac selepas seminggu negara dalam kemelut berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad dan runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan.
Ada pasang surut kepemimpinan Muhyiddin selepas 17 bulan bentuk kerajaan dengan bergabung bersama bekas musuh politiknya, paling ketara mengenai langkah mencegah pandemik Covid-19.
The Malaysian Insight mengimbau garis masa Muhyiddin sepanjang berkhidmat sebagai perdana menteri.
2020
1 Mac
Mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas menumbangkan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan dengan menggunakan taktik Langkah Sheraton.
18 Mac
Melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) seluruh negara, melarang semua sektor bukan penting beroperasi. Sekolah ditutup, rentas daerah dan negeri dilarang serta makan di restoran tidak dibenarkan.

13 Julai
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Ariff Yusof digugurkan selepas usul meminta beliau berundur diadakan di Parlimen. Kerajaan menang dengan majoriti tipis 111 undi berbanding 109.
23 September
Presiden PKR dan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mengumumkan beliau mempunyai sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan. Namun, beliau gagal mendapatkan sokongan Yang di-Pertuan Agong.
26 September
Pilihan raya negeri (PRN) Sabah diadakan walaupun pakar kesihatan memberi amaran. PKP 1.0 berjaya menurunkan angka jangkitan bagaimanapun PRN itu telah menyebabkan Covid-19 kembali menular ke seluruh negara.
13 Oktober
Umno berkata sedang mempertimbangkan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
25 Oktober
Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat bagi mengekang penularan Covid-19.
2021
12 Januari
Yang di-Pertuan Agong perkenan permohonan mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos. Parlimen digantung dan PKP 2.0 diumumkan.
28 Mac
Umno mengumumkan kerjasamanya dengan PN akan tamat selepas pilihan raya umum diadakan.
1 Jun
PKP 3.0 dilaksanakan di seluruh negara berikutan rekod tertinggi jangkitan sebanyak 9,000 kes.
15 Jun
Muhyiddin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk membebaskan negara dari pandemik. Jangkitan harian Covid-19 kekal tinggi lebih 5,000.
16 Jun
Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen bersidang segera. Pejabat perdana menteri berkata akan mengambil langkah susulan terhadap titah Agong itu.
29 Jun
Yang di-Pertuan Agong sekali lagi bertitah Parlimen perlu bersidang secepat mungkin bagi membolehkan perisytiharan darurat dan ordinan darurat dapat dibentangkan mengikut Perlembagaan.

30 Jun
Muhyiddin dimasukkan ke hospital kerana mengalami cirit-birit, kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
5 Julai
Putrajaya mengumumkan mesyuarat khas Parlimen akan diadakan pada 26 Julai hingga 2 Ogos. Kali terakhir persidangan adalah pada Disember 2020.
Warganet Malaysia memulakan kempen kibar bendera putih buat mereka yang bergelut tiada punca rezeki, makanan dan wang tunai.
6 Julai
Pergerakan bendera hitam bermula di media sosial. Protes aman itu menggesa Muhyiddin letak jawatan, Parlimen bersidang secara penuh dan tamatkan darurat.

7 Julai
Muhyiddin melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri dan Hishammudin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.
8 Julai
Majlis Kerja Tertinggi Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin. Menyeru beliau letak jawatan bagi membuka ruang untuk perdana menteri baharu dilantik.
14 Julai
Kabinet bersetuju memberikan sokongan penuh kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri bagi memerangi pandemik Covid-19 yang semakin teruk.
24 Julai
Doktor kontrak di hospital di seluruh negara mogok kerana masalah kontrak.
26 Julai
Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan mengumumkan di Parlimen semua enam ordinan darurat telah dibatalkan mulai 21 Julai. Semakan di laman web Jabatan Peguam Negara menunjukkan ia tidak diwartakan.

29 Julai
Kenyataan dari Istana Negara mengesahkan Yang di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan pembatalan ordinan darurat.
Sidang Parlimen ditangguhkan dua kali. Pertama untuk membincangkan agenda Dewan dan kali kedua untuk ujian Covid-19 berikutan pengesanan dua kes positif.
Anwar mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Muhyiddin dan Takiyuddin perlu letak jawatan kerana derhaka titah Yang di-Pertuan Agong.
31 Julai
Protes Lawan anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) diadakan dekat dengan Dataran Merdeka.
Kira-kira 1,500 orang berpakaian hitam menuntut Muhyiddin letak jawatan, Parlimen bersidang secara penuh dan moratorium pinjaman automatik bagi meringankan beban rakyat semasa pandemik Covid-19.
Muhyiddin mengumumkan hari terakhir mesyuarat khas di Parlimen ditangguhkan kerana 11 orang didapati positif Covid-19.
1 Ogos
Sidang tiga hari Dewan Negara yang sepatutnya pada 3 Ogos turut ditangguhkan.

2 Ogos
Ahli Parlimen pembangkang berarak ke Parlimen untuk memprotes keputusan kerajaan tangguh Parlimen. Jalan menuju ke Parlimen disekat polis dan pasukan simpanan persekutuan (FRU).
3 Ogos
Muhyiddin umum ordinan darurat akan dibentangkan di Parlimen pada September.
Beliau berkata pengungkaian ordinan darurat perlu dibuat di Parlimen kerana pembatalannya tidak dapat disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas proklamasi darurat berakhir pada 1 Ogos.
Kenyataan ini berikutan teguran Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai yang kerajaan tidak mendapat perkenan Agong untuk membatalkan ordinan tersebut. Pejabat perdana menteri berkata telah bertindak selaras dengan undang-undang.
Shamsul Anwar Nasarah, menteri Tenaga dan Sumber Asli umum akan keluar dari kabinet Muhyiddin.
Sejurus selepas itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi melalui sidang media dalam talian berkata parti itu menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional.
Tambah Zahid, Umno telah menyerahkan senarai ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong yang bersetuju menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Zahid diapit 10 ahli Parlimen Umno yang dikatakan menarik balik sokongan. Mereka ialah: Najib Razak (Pekan), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ahmad Maslan (Pontian), Azalina Othman Said (Pengerang), Noh Omar (Tanjong Karang), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Azeez Abdul Rahim (Baling) , Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).
4 Ogos
Muhyiddin umum undi percaya akan dibuat ketika Parlimen bersidang pada September bagi membuktikan beliau masih ada majoriti.
Pengumuman itu dibuat selepas beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong.
5 Ogos
Pakatan Harapan cabar Muhyiddin buktikan majoriti pada 9 Ogos, tidak boleh ditangguhkan sampai September.
Badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 memberi amaran tentang kemungkinan berlaku jual beli ahli Parlimen bagi mengumpulkan sokongan terhadap Muhyiddin.
MCA umum sokongan kepada perdana menteri seperti dipersetujui dalam resolusi Barisan Nasional.

6 Ogos
Timbalan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan 31 ahli Parlimen menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azalina Othman Said mendesak undi percaya diadakan sebelum sidang Parlimen pada September, berkata wajar untuk selesaikan usul itu sebelum Titah Diraja.
9 Ogos
Ahmad Zahid mengumumkan 14 ahli Parlimen Umno telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin. Nama tambahan itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam sepucuk surat bertarikh 4 Ogos.
Menyusuli Umno, parti pembangkang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menolak Muhyiddin sebagai perdana menteri.
11 Ogos
Muhyiddin bertemu dengan ketua semua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional di pejabat perdana menteri di Putrajaya.
13 Ogos
Dalam sidang media yang disiarkan di televisyen, Muhyiddin merayu ahli-ahli Parlimen pembangkang bersama membentuk kerajaan bipartisan.
Beliau menawarkan tujuh perkara antaranya tempoh dua penggal untuk jawatan perdana menteri, rang undang-undang anti-lompat parti, peruntukan sama rata untuk semua ahli Parlimen, meluluskan Undi18 dan mengadakan pilihan raya umum selewat-lewatnya pada Julai 2022.
Pakatan Harapan Warisan, Upko, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Muda menolak tawaran Muhyiddin untuk membentuk kerajaan bersama.
15 Ogos
Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mengesahkan Muhyiddin hilang majoriti di Parlimen dan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk letak jawatan.
16 Ogos
Muhyiddin umum peletakan jawatannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong. – 16 Ogos, 2021.
Komen