Rakyat Malaysia guna cara kreatif sertai kempen #BenderaHitam di Twitter


Raevathi Supramaniam

Bendera hitam dikibarkan sebagai tanda tunjuk perasaan terhadap pemerintahan Perikatan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 Julai, 2021.

KEMARAHAN rakyat Malaysia terhadap Putrajaya semakin jelas apabila ramai yang menyertai tunjuk perasaan damai dalam talian yang menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, persidangan semula Parlimen dan penamatan darurat dengan mengibarkan bendera hitam di kediaman mereka.

Gerakan #BenderaHitam yang dimulakan oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) menggesa rakyat Malaysia mengibarkan bendera hitam sebagai tunjuk perasaan terhadap pemerintahan Perikatan Nasional.

Walaupun ada amaran dari Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan bahawa mereka yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan itu boleh disiasat di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menerusi Twitter rakyat Malaysia menggunakan cara kreatif melakukan bantahan dengan memuat naik gambar beg sampah hitam, kemeja-T dan tudung.

Tanda pagar #BenderaHitam, #Lawan dan #MuhyiddinLetakJawatan kini trending di Twiiter.

#BenderaHitam mengumpulkan 31,900 ciapan, #Lawan 125,000 ciapan dan #MuhyiddinLetakJawatan 6,290 ciapan di Twitter. 

Pengguna Twitter W (@waniy_sd) menulis: Saya penat..Kami penat dengan kerajaan! #Lawan #BenderaHitam #MuhyiddinLetakJawatan

Seorang pengguna lain menulis bahawa walaupun dia takut menunjukkan sokongan terhadap gerakan itu secara terbuka, dia lebih takut dengan kerajaan PN.

“Sebagai solidariti dengan #LAWAN #BenderaHitam. Saya memakai semua warna hitam hari ini menampilkan bawal hitam dan batang mop saya. Saya takut tetapi saya lebih takut dengan kerajaan sekarang dan masa depan saya. #HakBersuaraHakKami #Tuntut3Perkara,” fiena san (@ss_macchiatae) menulis di Twitter.

Yang lain pula berkata bahawa walaupun diplomasi adalah jalan terbaik, mereka tidak lagi dapat berdiam diri atas kegagalan PN.

“Saya sering memilih diplomasi, rundingan dan keamanan dalam menangani konflik.

“Selepas semua kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan yang tidak terpilih ini saya tidak lagi menganggap itu cara terbaik untuk menaikkan suara saya. Satu-satunya pilihan buat masa ini, naikkan #BenderaHitam & #Lawan,” tulis Raja Nur Hanisah (@rnurhanisah_) di Twitter.

Ahli Parlimen pembangkang turut mengambil bahagian dalam protes berkenaan dengan memuat naik gambar bendera berwarna hitam dan menukar gambar profil mereka menjadi hitam putih.

Presiden PKR Anwar Ibrahim juga menyertai protes dengan memuat naik emoji tiga bendera hitam.

Begitu juga pengasas Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga memuat naik emoji tiga bendera hitam dengan tanda pagar #Lawan. Ahli Parlimen Muar juga menukar gambar profilnya menjadi hitam putih.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menerusi Twitter berkata: “Rakyat sudah bersuara!”, diikuti dengan emoji tiga bendera hitam.

Sejam seminggu lalu, rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam beberapa gerakan lain.

Kempen media sosial yang disebut gerakan bendera putih bermula pada Isnin, 28 Jun bagi membantu rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan kewangan atau makanan.

Gerakan itu meminta mereka yang memerlukan bantuan mengibarkan bendera putih di luar rumah sebagai isyarat kepada orang lain agar mereka dapat menerima bantuan.

Sementara itu gerakan Code Black dilancarkan oleh kumpulan perubatan sebagai tanda protes terhadap sistem pegawai perubatan kontrak (MO) yang tidak adil. – 3 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen