Putrajaya akan ambil langkah susulan titah Agong, kata Pejabat PM


PUTRAJAYA mengambil maklum dan akan melakukan langkah susulan terhadap titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dizahirkan selepas perbincangan khas baginda dengan Raja-Raja Melayu, semalam, kata Pejabat Perdana Menteri.

Langkah susulan itu akan dibuat mengikut undang-undang negara, kata pejabat itu dalam satu kenyataan.

“Menjunjung titah pandangan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” kata kenyataan itu, yang dikeluarkan petang ini.

Kenyataan tiga perenggan itu bagaimanapun tidak menjelaskan langkah susulan yang akan diambil.

Kenyataan itu juga menyebut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyembah maklum dan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perjalanan pengurusan pndemik Covid-19 dan penguatkuasaan Ordina Darurat semasa mengadap baginda pada Selasa.

Muhyiddin juga menyentuh pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat serta pelaksanaan sidang Parlimen dan Pelan Pemulihan Negara, tambah kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah semalam bertitah supaya Parlimen bersidang secepat mungkin untuk membahaskan keperluan rakyat di tengah pandemik Covid-19, kata Istana Negara.

Kenyataan itu mengulangi pendirian baginda yang dizahirkan pada Februari lalu, 45 hari selepas perisytiharan darurat, bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat berjalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dalam reaksi awal semalam berkata titah Seri Paduka Baginda tidak tidak menyebut tarikh atau tempoh tertentu bila Parlimen harus dibuka semula.

Sebaliknya, Parlimen memang sudah dekat hendak dibuka, katanya, merujuk kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang membayangkan Parlimen bersidang pada September apabila pelan pemulihan negara memasuki fasa ketiga.

Fasa ketiga pelan pemulihan yang dijangka dapat dicapai pada hujung Ogos menetapkan kes jangkitan Covid-19 diturunkan sehingga bawah 2,000 sehari, sementara 40% penduduk sudah menerima dua dos suntikan vaksin dan sistem kesihatan awam berada di tahap selesa.

“Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan perlu diadakan (sidang Parlimen) pada bulan berapa tapi secepat mungkin, Perdana Menteri juga berkata bulan September akan diadakan sidang Parlimen.

“Sekarang kita sudah hampir penghujung Jun, ada Julai dan Ogos dan September sudah hampir dan kita pasti akan ada sidang Parlimen,” kata Takiyuddin, dalam wawancara anjuran lidah rasmi PAS Harakah malam tadi.

Dalam titahnya semalam, Yang di-Pertuan Agong juga mahu vaksinasi Covid-19 kepada rakyat dipercepatkan dan prosesnya dipermudahkan kerana ia satu-satunya jalan keluar daripada pandemik. – 17 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen