Kenapa undi percaya Muhyiddin tak boleh dibuat lebih awal, tanya Azalina


Noel Achariam

Jika kerajaan gagal buat usul percaya, Yang di-Pertuan Agong perlu membaca Titah Diraja baharu yang dibuat oleh kerajaan baharu, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2021.

TIMBALAN Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said hari ini mempersoalkan adakah usul percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan dibuat lebih awal iaitu sebelum Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Parlimen pada 5 September.

Beliau berkata jika kerajaan gagal menjamin usul percaya, adakah Yang di-Pertuan Agong perlu membaca Titah Diraja yang baharu, memandangkan ianya disediakan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Oleh itu, kata Azalina, adalah lebih wajar usul percaya diadakan sebelum Titah Diraja.

Ahli Parlimen Pengerang itu tegaskan, jika kerajaan gagal membuat usul percaya, ini bermakna Yang di-Pertuan Agong perlu membaca Titah Diraja baharu oleh kerajaan baharu.

Istiadat pembukaan Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong perlu dibuat sekali lagi.

“Bunyinya janggal, tidak termasuk masa dan sumber yang dibuang begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Rabu, Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN yang menimbulkan keraguan terhadap sokongan yang diperoleh Muhyiddin di Parlimen setakat ini.

Muhyiddin kemudian mengumumkan beliau akan mengadakan usul percaya di Parlimen pada September.

Azalina juga mempersoalkan mengapa usul percaya perlu dibuat pada September, bukannya lebih awal.

“Kenapa perdana menteri hendak buat usul percaya pada September, bukannya lebih awal?”

Beliau berkata ada dua pilihan untuk mempercepat usul percaya dibuat lebih awal sebelum September.

“Pertama, Muhyiddin boleh buat sidang khas Aturan Mesyuarat di bawah perkara 11(3).

“Kedua, dengan buat proses pungutan suara alternatif, iaitu pungutan terbuka atau tertutup.”

Azalina berkata, tindakan ini dapat dibuat di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan pungutan dikira oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

“Kenapa perkara ini tidak boleh dibuat secepat mungkin. Peguam Negara dan setiap wakil parti boleh jadi saksi.”

Tambahnya, perlu ada undang-undang anti-lompat parti bagi mengelakkan ahli-ahli Parlimen menarik atau membatalkan penarikan sokongan terhadap kerajaan.

“Ini perlu jadi agenda utama Dewan sebelum bersidang nanti.” – 6 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen