Pakatan tolak tawaran Muhyiddin, minta letak jawatan


MAJLIS Presiden Pakatan Harapan menolak tawaran ‘tidak ikhlas’ Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dan meminta beliau meletakkan jawatan selepas mengakui hilang sokongan majoriti.

Dalam satu kenyataan, majlis itu berpandangan bahawa perutusan khas perdana menteri hari ini adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti di Parlimen.

Menurutnya, sejajar dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan perdana menteri perlu meletakkan jawatan, sekiranya lagi mempunyai sokongan majoriti.

“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang perdana menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan pembangkang.

“Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu hari ini Muhyiddin mengumumkan tujuh tawaran untuk meraih sokongan pembangkang bagi membolehkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal berfungsi.

Beliau juga berkata tidak akan meletakkan jawatan dan kabinetnya bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti dari luar Perikatan Nasional menjelang undi percaya bagi menguji sokongan majoritinya di Parlimen bulan depan.

PH dalam kenyataanya menegaskan Muhyiddin telah membelakangi fungsi Yang di-Pertuan Agong dnegan mengatakan “tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

Menurutnya ia merupakan kuasa Agong untuk menentukan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen dan melantiknya sebagai perdana menteri.

“Oleh yang demikian, Pakatan Harapan mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Muhyiddin yang sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau.

“Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau,” menurut kenyataan itu.

Majlis itu berkata pihaknya yakin mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik Covid-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu. – 13 Ogos, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen