Muhyiddin tawar 7 perkara untuk rayu sokongan pembangkang


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin umum tujuh tawaran kepada pembangkang menerusi pengumuman dalam perutusan khas petang tadi. – Gambar Facebook, 13 Ogos, 2021.

MUHYIDDIN Yassin mengumumkan tujuh tawaran untuk meraih sokongan pembangkang bagi membolehkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal berfungsi.

Beliau menjemput pembangkang membincangkan cadangan berkenaan dengan ahli pembangkang pada minggu depan dan berjanji akan mengadakan sidang khas bagi undi percaya ke atasnya jika ia dipersetujui.

“Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada perdana menteri dalam masa terdekat.”

Tawaran itu dibuat melalui ucapannya khasnya yang disiar langsung selepas beliau mengakui tidak menguasai majoriti untuk terus menerajui kerajaan.

Ia meliputi reformasi Parlimen termasuk kedudukan ketua pembangkang, jaminan meluluskan rang undang-undang yang dituntut wakil rakyat tersebut dan peningkatan bantuan kepada rakyat.

Katanya, ketua pembangkang akan diberi saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri kanan sekiranya undi percaya ke atasnya di Dewan Rakyat disokong blok itu.

“(Ia) sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat ...,” kata Muhyiddin dalam ucapan khasnya.

Muhyiddin turut membangkitkan peruntukan RM300,000 yang diumumkan kepada semua ahli Parlimen sebelum ini sebagai bantuan kepada rakyat sewaktu pandemik.

Beliau seterusnya menawarkan untuk meneruskan amalan tersebut melalui peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti “atas semangat kerjasama bipartisan di Parlimen”.

Untuk tahun ini, pembangkang akan menerima jumlah tersebut secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki, katanya.

Beliau juga menawarkan untuk melaksana pindaan bagi membolehkan individu berusia 18 tahun mengundi tanpa menunggu pindaan bagi pendaftaran automatik.

“Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan ini. 

“Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan,” katanya.

Beliau juga menawarkan untuk berunding dengan semua ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum rang undang-undang termasuk belanjawan dibentangkan.

“Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen,” katanya.

Beliau juga berjanji membentangkan pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal dan juga undang-undang untuk menghalang lompat parti.

Selain itu, kerajaan juga akan menambah jumlah jawatankuasa pilihan khas Parlimen dan untuk membolehkan lebih ramai wakil pembangkang terlibat.

“Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50% Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh ahli Parlimen kerajaan dan 50 peratus lagi oleh ahli Parlimen pembangkang.”

Dengan itu juga, kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan berpatutan kepada semua pengerusi jawatankuasa tersebut, katanya.

Bagi usaha menangani pandemik, beliau menawarkan untuk menaikkan had siling Dana Covid-19 RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen kepada RM110 bilion.

Untuk bantuan kepada rakyat, beliau antara lain menawarkan bantuan tunai sebanyak RM10 bilion kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun 2021. – 13 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen