Pembangkang utus surat kepada Agong tolak Muhyiddin, lapor media


Selepas Umno umum 14 ahli Parlimen tarik sokongan terhadap perdana menteri, parti pembangkang pula menurut sumber telah mengirim surat kepada Yang di-Pertuan Agong menolak Muhyiddin Yassin hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2021.

PARTI pembangkang telah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menolak Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, tidak sampai 24 jam selepas Umno umumkan 14 ahli Parlimennya tarik sokongan, lapor Malaysiakini.

Sumber dari Amanah dan Pejuang memberitahu portal berita tersebut mereka telah mengirim surat ke Istana Negara pukul 4 petang hari ini.

“Kesemua 105 ahli Parlimen daripada Pejuang, DAP, PKR, Warisan, Parti Sarawak Bersatu, Muda, Amanah dan Maszlee Malik (Bebas) menghantar surat.

“Dengan keputusan pembangkang sebulat suara menolak Muhyiddin, jumlah ahli Parlimen tidak sokong kini sudah mencecah 118 orang,” kata sumber itu seperti dipetik Malaysiakini.

Dalam pada itu, sumber lain dilaporkan berkata pembangkang mengutus surat-surat tersebut secara serentak.

Awal hari ini, Umno Online melaporkan 14 ahli Parlimen parti itu telah menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Menurut laporan portal berita rasmi parti itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah menambah enam lagi nama dalam senarai ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap presiden Bersatu itu.

Nama yang ditambahkan itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam surat bertarikh 4 Ogos.

Selain Zahid, 13 Ahli Parlimen lain dalam senarai itu ialah Najib Razak (Pekan), Ahmad Maslan (Pontian), Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Azalina Othman Said (Pengerang), Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Mohamad Alamin (Kimanis), Noh Omar (Tg Karang), dan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang).

Menurut Zahid, 14 ahli Parlimen itu tidak pernah menandatangani surat akuan menyokong Muhyiddin, malah meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menukar tempat duduk mereka dari kerajaan kepada pembangkang.

“Patik ingin mengesahkan tiada seorang pun ahli Parlimen yang menarik kembali surat akuan yang dipersembahkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku,” kata Zahid dalam surat tiga muka surat kepada Yang di-Pertuan Agong itu. – 9 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen