Ismail Sabri timbalan perdana menteri, Hishammuddin menteri kanan, umum Pejabat PM


Ismail Sabri Yaakob (kanan) dilantik sebagai timbalan perdana menteri sementara seorang lagi menteri Umno Hishammuddin Hussein diangkat sebagai menteri kanan keselamatan.

NAIB Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai timbalan perdana menteri sementara seorang lagi menteri Umno Hishammuddin Hussein diangkat sebagai menteri kanan keselamatan, umum Pejabat Perdana Menteri.

Rombakan kabinet ini dibuat di tengah desas-desus ada gerakan dalam Umno untuk menarik balik sokongan ahli parlimennya kepada kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Pelantikan (Ismail Sabri sebagai timbalan perdana menteri) ini akan dapat membantu YAB Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Kenyataan itu juga memaklumkan Ismail Sabri kekal sebagai menteri pertahanan manakala jawatan menteri luar negeri yang disandang oleh Hishammuddin diangkat sebagai menteri kanan.

“Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh YAB Dato Sri Ismail Sabri.

“Di samping itu, YAB Perdana Menteri bersetuju supaya YB Dato’ Seri Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut pelantikan mereka sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta-merta.

“Adalah diharapkan pelantikan ini akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan kerajaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti,” tambah kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan Majlis Kerja Tertinggi Umno dalam mesyuaratnya di Janda Baik, Pahang pada Februari 2021 menolak tawaran jawatan timbalan perdana menteri.

Ia juga pada masa itu memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang, keputusan sama yang kemudiannya disahkan dalam perhimpunan agung parti pada hujung Mac.

Berita mengenai pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin mula tersebar selepas mesyuarat Jemaah Menteri, awal hari ini. Beberapa media melaporkan cadangan rombakan kabinet disebut oleh Muhyiddin dalam mesyuarat yang beliau pengerusikan itu.

The Malaysian Insight difahamkan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri hari ini dijalankan secara dalam talian dan dipengerusikan oleh Muhyiddin dari rumah, selepas dibenarkan keluar dari hospital semalam.

Muhyiddin dirawat di hospital sejak Rabu minggu lalu selepas mengalami jangkitan pada sistem penghadaman.

Pada 4 Julai, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan gangguan kesihatan itu tidak menunjukkan masalah barah yang dihadapi beliau sebelum ini berulang.

MKT Umno dijadual bermesyuarat malam ini selepas beberapa siri perbincangan dan pertemuan sejak tiga hari lalu membincangkan hala tuju parti dan kerjasamanya dengan kerajaan Muhyiddin.

Biro Politik Umno sebelum ini memberi tempoh 14 hari kepada pentadbiran Muhyiddin untuk memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos, seperti yang dititah nasihat supaya diadakan secepat mungkin oleh Yang di-Pertuan Agong.

Awal minggu ini, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Parlimen akan mengadakan persidangan khas selama lapan hari bermula 26 Julai untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan dengan pandemik Covid-19.

Dewan Rakyat akan bersidang lima hari antara 26 Julai hingga 2 Ogos diikuti Dewan Negara selama tiga hari antara 3 hingga 5 Ogos.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas adalah untuk menerangkan kepada ahli dewan mengenai pelan pemulihan negara dan meminda perundangan untuk menjalankan persidangan seterusnya secara hibrid.

Semua proklamasi darurat dan ordinan dibuat Yang di-Pertuan Agong juga akan dibentangkan di kedua-dua persidangan itu, selaras dengan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, kata pengumuman itu. – 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen