Muhyiddin keluar hospital beberapa hari lagi, kata pejabat PM


Keadaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertambah baik, kata PMO. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2021.

MASALAH tumor dialami Muhyiddin Yassin didapati tidak berulang dan beliau dijangka dibenarkan keluar hospital dalam tempoh beberapa hari lagi, menurut Pejabat Perdana Menteri.

“Keadaan beliau stabil dan bertambah baik serta dibenarkan bertugas semasa dalam rawatan. Beliau dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh beberapa hari lagi,” kenyataan itu dipetik.

Ia menjelaskan, Muhyiddin buat masa ini masih kekal di hospital untuk menjalani rawatan antibiotik bagi jangkitan ke atas sistem penghadamannya.

Beliau dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu untuk rawatan kerana mengalami cirit-birit dan siasatan menolak kaitan dengan barah yang dihadapinya sebelum ini.

“Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan yang rapi, didapati tiada bukti menunjukkan masalah tumor lama yang berulang.”

Perdana menteri turut menyatakan penghargaan ke atas semua pihak yang mendoakan kesihatannya, menurut kenyataan itu lagi.

Pusat Perubatan Pantai pada Jun tahun lalu mengesahkan Muhyiddin bebas dari kanser yang dihidapi presiden parti Bersatu itu pada 2018.

Beliau menjalani rawatan ke atas kanser itu di Singapura.

Kemasukan Muhyiddin ke hospital pada Rabu menimbulkan beberapa spekulasi, antara berkait dengan pelantikan jawatan timbalan perdana menteri.

Jawatan itu tidak lagi wujud dan digantikan dengan empat jawatan menteri kanan selepas Muhyiddin membentuk kerajaan baharu melalui percaturan politik Langkah Sheraton tahun lalu.

Isu pelantikan timbalan perdana menteri itu bagaimanapun kembali diperkatakan sewaktu puak dalam Umno berbeza pandangan mengenai keputusan menarik sokongan dari kerajaan PN. – 4 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen