Agong belum perkenan batal ordinan darurat, kata Istana Negara


Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat dukacita kerana kuasa baginda dalam membatalkan ordinan darurat dibelakangi kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.

YANG di-Pertuan Agong belum memberi perkenan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sejak 11 Januari lalu, kata Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebaliknya dukacita kerana kerajaan Muhyiddin Yassin membatalkan ordinan berkenaan tanpa mengikut proses yang ditetapkan, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin, menteri undang-undang Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat enam ordinan darurat sudah dibatalkan sejak 21 Julai. Semakan menunjukkan pada hari itu Jemaah Menteri mengadakan mesyuarat mingguannya.

Ahmad Fadil memaklumkan Al-Sultan Abdullah juga dukacita kerana proses yang sepatutnya sudah baginda titahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun semasa mereka mengadap baginda secara dalam talian pada Sabtu lalu.

Semasa majlis mengadap itu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan dan menitahkan supaya perkara itu dibawa dan diuruskan di Parlimen.

“... cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,” katanya.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat,” tambahnya.

Kenyataan Istana Negara hari ini menyebut kerajaan membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.

Yang di-Pertuan Agong menegaskan kerajaan Muhyiddin tergesa-gesa apabila membatalkan semua ordinan darurat berkuat kuasa 21 Julai tanpa membentangkannya di Parlimen.

Kenyataan pihak kerajaan bukan saja mengelirukan Parlimen malah “... membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Sementara itu, Istana Negara memberitahu Al-Sultan Abdullah maklum akan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Namun Yang di-Pertuan Agong juga ada kewajipan untuk menasihati dan menegur kerajaan kalau ada tindakan tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak yang menjalankan fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda, kata kenyataan itu.

Sejak Isnin, ahli-ahli Parlimen terutamanya pembangkang mendesak kerajaan supaya menjelaskan kenyataan Takiyuddin, sama ada pembatalan yang diumumkan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau belum.

Takiyuddin enggan memberi penjelasan atas alasan beliau telah ditetapkan untuk memberi penerangan kepada Dewan Rakyat pada Isnin (2 Ogos) mengenai pelaksanaan darurat.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang juga menuduh Yang di-Pertuan Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun cuai dan mengabaikan peranannya apabila tidak mahu mengarahkan kerajaan membuat penjelasan segera.

Keadaan itu menyebabkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada Selasa meminta Dewan Rakyat merekodkan bahawa kerajaan Muhyiddin melanggar Perlembagaan Persekutuan dan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.

Selain pembatalan enam ordinan darurat, Takiyuddin juga memberitahu Dewan Rakyat Isnin lalu bahawa kerajaan tidak akan meminta perkenan Yang di-Pettuan Agong untuk melanjutkan darurat selepas 1 Ogos. – 29 Julai, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen