Putrajaya langgar Perlembagaan, tidak hormat Agong, kata Anwar


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata Menteri undang-undang Takiyuddin Hassan cuba berselindung di belakang institusi Yang diPertua Dewan Rakyat untuk tidak menjawab isu itu hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2021.

KERAJAAN Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melanggar Perlembagaan Persekutuan dan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong apabila lebih dahulu mengumumkan enam ordinan darurat sudah dibatalkan minggu lalu, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Menteri undang-undang Takiyuddin Hassan semalam memberitahu Dewan Rakyat ordinan berkenaan dimansuhkan pada 21 Julai.

Anwar meminta Parlimen merekodkan perkara itu selepas Takiyuddin enggan menjawab pertanyaan ahli-ahli Parlimen sama ada pembatalan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Parlimen harus rekod ini kerana sehingga sekarang belum ada keupayaan bukan saja menteri atau perdana menteri, seorang menteri pun tidak berani memberi pengakuan Agong sudah memberi perkenan.

“Jadi rekod ini di Parlimen. Dengar semua ahli parlimen, dengar semua rakyat di Malaysia, bahawa kerajaan ini sudah mengumumkan sesuatu yang melanggar Perlembagaan dan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya di Dewan Rakyat.

Fahmi Fadzil (Lembah Pantai-PH) kemudian menyampuk menyifatkan kerajaan ini derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum RNS Rayer (Jelutong-PH) menyambung meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun juga agar jangan derhaka.

Azhar sebelum itu enggan berganjak daripada keputusannya semalam meminta Takiyuddin membuat penjelasan pada Isnin, apabila kerajaan dijadual memberi penerangan mengenai pelaksanaan darurat.

Anwar berkata Takiyuddin cuba berselindung di belakang institusi Yang diPertua Dewan Rakyat untuk tidak menjawab isu itu hari ini, dan Azhar tidak harus membiarkan perkara itu berlaku.

Jelas Anwar, isu yang dibangkitkan ahli Parlimen bukanlah soal krisis antara pembangkang dengan kerajaan, tetapi krisis antara kerajaan dan institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau tengok cara menteri jawab, memang, saya pasti 100%, belum ada perkenaan Yang di-Pertuan Agong. Kalau itu tidak ada, apakah maknanya?” tanya Anwar.

Pengerusi PH menegaskan pengumuman Takiyuddin semalam sebenarnya mengelirukan Dewan Rakyat.

“Speaker, dengan kerusi yang mulia ini, jangan bersekongkol dengan orang yang mengelirukan dewan.

“Yang kita minta hanya satu, menteri kata dia boleh jawab tapi speaker tak bagi jawab, speaker kata Isnin. Jadi saya minta speaker kata, menteri boleh jawab hari ini.

“Kalau itu pun speaker tak sanggup, saya dukacitalah. Ada masalah besarlah kita dengan speaker kalau begitu,” katanya.

Beberapa ahli Parlimen lain juga kemudian memberi peringatan sama kepada Azhar, meminta beliau menggunakan kuasa sedia ada pada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengarah Takiyuddin menjawab kerana alasan beliau mengelak ialah petua speaker.

Sementara itu, Noh Omar (Tanjong Karang-BN) berkata sebagai ahli jawatankuasa khas bebas darurat, beliau sendiri pun terkejut dengan pengumuman Takiyuddin semalam.

“Kalau betul darurat ini sudah dibatalkan, tak ada makna lagi kita hendak bincang, sudah jadi perkara akademik,” katanya.

Azhar lalu meminta Noh membangkitkan perkara itu pada Isnin.

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PH) kemudian mengambil giliran membahaskan penerangan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengenai tindakan menangani Covid-19. – 27 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen