Parlimen perlu bersidang segera, titah Yang di-Pertuan Agong


Ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat, titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Gambar The Malaysian Insight oleh , 16 Jun, 2021.

PARLIMEN perlu bersidang segera, titah Yang di-Pertuan Agong, bagi membolehkan  semua ordinan darurat dan pelan pemulihan negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19 dibahaskan oleh wakil rakyat, kata Istana Negara.

Pendirian Yang di-Pertuan Agong turut disokong oleh Raja-Raja Pemerintah yang juga mahu semua dewan undangan negeri bersidang secepat mungkin, kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian selepas mempengerusikan persidangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, petang tadi, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya, dalam satu kenyataan malam ini.

Yang di-Pertuan Agong berpandangan Ahli-ahli Dewan Rakyat juga boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara, tambahnya.

Al-Sultan Abdullah juga berpendapat perlu ada pentadbiran Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, tambah Ahmad Fadil.

Perbincangan khas Raja-Raja Melayu dihadiri oleh semua Raja-Raja Pemerintah kecuali Kelantan, sementara Perlis diwakili oleh Raja Muda, kata Syed Danial.

Jelas penyimpan mohor besar, Raja-Raja Pemerintah berpendirian mekanisme semak dan imbang antara tiga cabang pentadbiran negara mesti dihormati bagi menjami adanya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat.

“Dalam semangat tersebut Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar parlimen segera bersidang.

“Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan-Dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin,” katanya, dalam kenyataan yang menyusul kenyataan Istana Negara.

Raja-Raja Pemerintah juga menyeru kaedah persidangan Parlimen di negara-negara lain di tengah pandemik sekarang diterima pakai, kata Syed Danial.

Pada 24 Februari lalu, Al-Sultan Abdullah juga bertitah Parlimen boleh bersidang di tengah darurat. Titah dibuat selepas baginda menerima mengadap Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Dr Rais Yatim di Istana Negara.

Titah baginda pada masa itu dibuat genap 45 hari selepas membuat perisytiharan darurat bertujuan membendung penularan Covid-19, dan hari ini ditegaskan semula 156 hari selepas darurat berjalan.

Perisytiharan darurat itu berkuat kuasa sejak 11 Januari lalu sehingga 1 Ogos.

Hari ini, Raja-Raja Pemerintah juga berpendirian perintah darurat tidak perlu diteruskan selepas 1 Ogos ini. – 16 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen