Parlimen boleh bersidang semasa darurat, titah Agong


PARLIMEN boleh bersidang semasa perintah darurat masih berjalan, titah Yang di-Pertuan Agong, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Tarikh persidangan itu bagaimanapun tertakluk pada tarikh yang baginda fikirkan sesuai, atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, jelasnya.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan baginda selepas menerima mengadap Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Dr Rais Yatim di Istana Negara hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima mengadap Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Dr Rais Yatim di Istana Negara hari ini.– Gambar Facebook, 24 Februari, 2021.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri,” kata Ahmad Fadil dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan genap 45 hari selepas Yang di-Pertuan Agong membuat perisytiharan darurat bertujuan membendung penularan Covid-19, berkuat kuasa pada 11 Januari lalu.

Menurut Ahmad Fadil, pandangan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong terkandung dalam Perkara 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyebut “Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.”

“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat,” tambah Ahmad Fadil.

Perintah darurat sebelum ini perisytiharan darurat Yang di-Pertuan Agong perkenankan sebelum ini, atas nasihat perdana menteri, adalah semata-mata sebagai “langkah proaktif” untuk membendung penularan Covid-19.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Dr Rais Yatim bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  di Istana Negara hari ini.– Gambar Facebook, 24 Februari, 2021.

Setakat ini, sekurang-kurangnya ada tiga permohonan yang dibuat kepada mahkamah untuk menyemak semula kuasa yang ada pada Muhyiddin untuk memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika kerajaannya dikatakan sudah hilang majoriti.

Satu tindakan dikemukakan oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan satu lagi oleh tiga ahli parlimen yang juga wakil rakyat negeri dari Pakatan Harapan, yang juga mempertikaikan nasihat sama yang menggantung Dewan Undangan Negeri.

Minggu lalu, timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said mencadangkan kepada Peguam Negara Idrus Harun untuk mempertimbangkan pembentukan satu kabinet darurat khas manakala jemaah menteri yang ada digantung.

Sehingga semalam, terdapat 30,475 kes jangkitan Covid-19 yang masih aktif di seluruh Malaysia ketika angka kematian sudah mencecah lebih 1,000 orang. – 24 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen