Muhyiddin sah letak jawatan esok, kata pemimpin Bersatu


Diyana Ibrahim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan keputusannya untuk meletak jawatan pada perjumpaan khas di ibu pejabat PN hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 15 Ogos, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin sah akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong esok selepas hilang majoriti di Dewan Rakyat, kata menteri Kabinet Mohd Redzuan Md Yusof.

Muhyiddin memaklumkan keputusan itu kepada pimpinan kanan Bersatu dalam satu perjumpaan khas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN), pagi tadi.

“Beliau maklumkan akan letak jawatan sebagai perdana menteri kerana kehilangan majariti, dan kita sebagai MPT terpaksa akur dengan perlembagaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Redzuan, Muhyiddin memberitahu mereka semua usaha untuk menyelamatkan pentadbirannya buntu, selepas Umno menarik balik sokongan.

Muhyiddin memaklumkan mereka, beliau tiada pilihan selain letak jawatan, tambahnya.

Redzuan memberitahu Muhyiddin akan mempengerusikan satu mesyuarat Kabinet khas esok dan selepas itu mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, sebelum tengah hari.

Perjumpaan khas ini diadakan selepas parti politik pembangkang menolak tawaran Muhyiddin untuk melaksanakan tujuh reformasi sebagai ganti sokongan mereka kepada kerajaannya.

Antaranya, mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, mengukuhkan institusi Parlimen dan menurunkan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Muhyiddin juga menawarkan jawatan ketua pembangkang dinaik taraf menteri kanan dengan elaun dan pegawai sokongan.

Ahli parlimen pembangkang menyifatkan tawaran Muhyiddin “cubaan rasuah terbuka melalui televisyen” sementara beberapa wakil parti politik pembangkang memfailkan laporan polis.

Awal hari ini, satu lagi desas-desus timbul kononnya Muhyiddin akan bercuti atas masalah kesihatan dan jawatan perdana menteri dicadang dipangku oleh timbalannya Ismail Sabri Yaakob sehingga Julai 2022.

Desas-desas yang tersebar ketika mesyuarat khas MPT Bersatu itu juga menyebut kononnya Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu akan memegang jawatan menteri kanan.

Beliau yang juga bekas menteri besar Perak sejak 1 Ogos dilantik penasihat khas Muhyiddin bagi hal ehwal masyarakat dan pembangunan sosioekonomi. Jawatan itu bertaraf menteri.

Muhyiddin jadi perdana menteri pada 1 Mac, 2020 selepas percaturan politik menyingkirkan kerajaan PH yang menang pilihan raya umum 2018.

Kerajaan PH jatuh selepas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi parti letak jawatan setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu pada 24 Februari, 2020. – 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen