Parlimen bersidang semula 26 Julai, kata pejabat PM


PARLIMEN akan bersidang selama lapan hari bermula 26 Julai ini antara lain untuk membincangkan pelan pemulihan negara keluar daripada pandemik Covid-19, umum Pejabat Perdana Menteri.

Dewan Rakyat akan bersidang lima hari antara 26 Julai hingga 2 Ogos diikuti Dewan Negara selama tiga hari antara 3 hingga 5 Ogos.

Ia menyebut, sidang Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas itu untuk menerangkan kepada ahli dewan mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda perundangan untuk menjalankan persidangan secara hibrid.

Semua proklamasi darurat dan ordinan dibuat Yang di-Pertuan Agong juga akan dibentangkan di kedua-dua persidangan itu, selaras dengan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat berkenaan akan dijalankan mengikut ketetapan kawalan pandemik ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan, menurut kenyataan itu lagi.

Pengumuman itu muncul dua hari lebih awal dari yang dijanjikan kerajaan.

Menteri hal ehwal undang-undang Takiyuddin Hassan pada Jumaat lalu dilaporkan berkata, tarikh persidangan itu hanya akan diputuskan oleh Kabinet dalam mesyuarat pada 7 Julai.

Ia bagi mematuhi pandangan Agong berkaitan pentadbiran negara, termasuk berkaitan pembukaan semula Parlimen, katanya.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kali pertama mengarahkan demikian pada Februari lalu melalui pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.

Pemimpin kerajaan Perikatan Nasional pada masa itu bagaimanapun mengeluarkan pelbagai alasan untuk mengelak persidangan tersebut dijalankan.

Pada 16 Jun, baginda sekali lagi bertitah agar persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Dalam kenyataan berasingan, Majlis Raja-Raja menegaskan darurat tidak boleh dilanjutkan melebihi 1 Ogos.

Kalangan menteri PN bagaimanapun terus berbolak-balik untuk mengelak persidangan diadakan dan menerbitkan beberapa takrif berbeza mengenai maksud “secepat mungkin” itu.

Seterusnya Agong dalam titahnya pada 29 Jun kepada speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengulangi arahan supaya Parlimen bersidang secepat mungkin. – 5 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen