Darurat tidak disambung selepas 1 Ogos, umum Takiyuddin


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan berkata kerajaan tidak akan menasihati Agong untuk mengisytihar proklamasi darurat baharu apabila ia tamat 1 Ogos ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.

PERINTAH darurat, yang berkuat kuasa sejak 11 Januari, tidak akan disambung selepas 1 Ogos ini, kata menteri undang-undang Takiyuddin Hassan.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini mengisytiharkan Proklamasi Darurat berkuat kuasa bermula 11 Januari hingga 1 Ogos.

“Kerajaan memutuskan tidak akan nasihat Agong isytihar proklamasi darurat baharu apabila ia tamat 1 Ogos ini,” kata Takiyuddin kepada Dewan Rakyat.

Batal ordinan

Takiyuddin juga mengumumkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan sejak darurat berkuat kuasa telah dibatalkan pada 21 Julai. Semakan menunjukkan Jemaah Menteri mengadakan mesyuarat mingguannya pada tarikh itu.

“Kerajaan telah membuat keputusan berdasarkan kepada Perkara 150 (3) untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dibuat semasa Proklamasi Darurat ini,” katanya lagi.

Selepas Proklamasi Darurat, antara ordinan yang dimasyhurkan termasuk Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu), Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.

Takiyuddin menjawab soalan ahli Parlimen pembangkang yang bertanya mengapa kerajaan tidak mengemukakan usul untuk Dewan Rakyat membahaskan Proklamasi Darurat dan ordinan di bawahnya di Parlimen mengikut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Selepas ucapan penerangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, beberapa ahli parlimen pembangkang bangun meminta penjelasan mengenai status sebenar ordinan darurat, sama ada pemansuhannya sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong atau pengumuman Takiyuddin mendahului Yang di-Pertuan Agong.

Selepas perbincangan khas dengan Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun, Raja-Raja Melayu menitahkan pandangan darurat tidak perlu disambung lagi selepas tempohnya berakhir pada 1 Ogos.

Proklamasi Darurat diumumkan pada 12 Januari dengan alasan untuk membendung penularan Covid-19.

Pada masa itu, Malaysia merekodkan keseluruhan 138,224 kes jangkitan dengan 28,554 kes aktif. Korban akibat Covid-19 pula pada masa itu 555 orang.

Perintah darurat itu bagaimanapun tidak mengekang penularan Covid-19 apabila jangkitan semakin bertambah dari hari ke hari sehingga kini mencecah lebih 1 juta kes keseluruhan.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan rekod 1,013,438 kes keseluruhan dengan 7,994 kematian. Kes aktif pula sebanyak 160,903 dengan 970 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 501 kes memerlukan bantuan pernafasan. – 26 Julai, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen