AHLI Dewan Rakyat diberitahu mesyuarat khas yang sepatutnya berlangsung pada Isnin ditangguhkan lagi ke satu tarikh lain atas arahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Ia dimaklumkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin kepada para ahli Dewan dalam satu surat bertarikh hari ini.
Menurutnya, perdana menteri mengarahkan demikian atas cadangan ketua pengarah kesihatan dan penilaian risiko semasa yang dijalankan Kementerian Kesihatan.
“...Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya dalam surat itu.
Tambahnya, Muhyiddin yang merupakan ketua majlis mesyuarat dewan tersebut mengarahkan demikian mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3).
Tarikh 2 Ogos dijadualkan sebagai hari terakhir untuk tempoh persidangan khas lima hari yang dikhususkan untuk mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.
Ia juga sepatutnya menjadi hari pertama Dewan Rakyat bersidang semula selepas perintah darurat berakhir pada 1 Ogos.
Sidang Parlimen seterusnya hanya melibatkan sesi Dewan Negara yang ditetapkan bermula 3 hingga 5 Ogos.
Perkembangan itu berlaku sewaktu pentadbiran Muhyiddin menjadi sasaran kemurkaan Yang di-Pertuan Agong atas tindakan membelakangkan kuasa baginda dalam membatalkan ordinan darurat.
Baginda antara lain menyebut peranan menteri hal ehwal Parlimen Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Idrus Harun atas krisis itu.
Pengumuman dari setiausaha Dewan Rakyat itu disambut dengan berang oleh pembangkang yang mengangapnya sebagai helah untuk menutup dan menangguhkan persidangan Parlimen.
Ini kerana ujian dijalankan pada minggu lalu menunjukkan tiada kes yang signifikan dikesan di Parlimen, menurut kenyataan ditandangani barisan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH).
“Oleh itu, isu jangkitan Covid-19 tidak boleh dan tidak patut dijadikan alasan untuk menutup atau menangguh sidang Parlimen yang perlu diteruskan pada Isnin.”
Mereka turut memberi amaran kepada Muhyiddin agar tidak memperalat kementerian termasuk ketua pengarah kesihatan untuk menutup Parlimen.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga tidak harus membiarkan diri diperalat sebegitu, kata pemimpin PH.
Pentadbiran Muhyiddin kini mengelak sebarang usul yang boleh membawa kepada pengundian di Parlimen kerana ia akan menguji sokongan majoriti dan keabsahan kuasa perdana menteri itu. – 31 Julai, 2021.
Komen