TAHUN 2017 penuh dengan kejutan dan menggemparkan, walaupun rakyat Malaysia – setelah bertahun-tahun melihat ahli-ahli politik kedua-dua belah pihak – mungkin merasakan mereka sudah menyaksikan kesemuanya.
Ketepikan hal politik, ia mengenai berita tragedi yang meragut nyawa kanak-kanak kecil tidak bersalah yang menggemparkan negara dan menyaksikan rakyat Malaysia mempersoalkan bukan sahaja pihak berkuasa tetapi juga keadaan masyarakat masa kini.
The Malaysian Insight menyenaraikan, mengikut topik, apa yang kami anggap sebagai kisah yang mendefinasikan tahun ini.
Berita tahun ini: Remaja mati dibuli di Pulau Pinang
Pada Jun, T Nhaveen, 18, dipukul menggunakan topi keledar, dibakar di bahagian belakang badan dan dimasukkan objek di bahagian dubur sehingga mengalami kecederaan oleh lima remaja setelah bertengkar. Dia kemudiannya ditinggalkan di padang di Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan koma selama enam hari sebelum meninggal dunia.
Rakannya, T. Previin, 19, berjaya melepaskan diri dengan kecederaan di bahagian mata dan menjadi saksi penting kes Nhaveen, yang kini dikategorikan sebagai kes bunuh.
Polis telah menahan lima suspek, berumur antara 16 hingga 18 tahun.
Keganasan pembunuhan itu menyebabkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim meminta supaya kesemua suspek remaja tersebut didakwa sebagai orang dewasa.
Awal bulan ini, empat suspek tersebut didakwa di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan. Dua suspek adalah di bawah umur.
Turut menggemparkan adalah kematian seorang kadet Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, juga pada Jun, yang didera selama dua hari oleh kadet lain disebabkan kehilangan sebuah komputer riba. Lima pelajar didakwa atas kematiannya.
Kedua-dua kes, termasuk kes buli lain yang dilaporkan di berita dan media sosial, menyebabkan isu ini menjadi tumpuan dan keadaan kesihatan mental para belia.
Tragedi tahun ini: Kebakaran sekolah tahfiz Keramat
Ia merupakan kejadian kebakaran paling buruk negara sepanjang 20 tahun, menjadi contoh apa yang mampu dilakukan oleh remaja nakal di negara ini.
Siasatan polis terhadap kejadian di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Selangor itu mendapati enam suspek berumur antara 12 hingga 18 tahun, disyaki menggunakan dua tong gas untuk mempercepatkan kebakaran.
Ia disebabkan oleh balas dendam yang membunuh 21 pelajar dan dua guru.

Pengetua sekolah itu kemudiannya menegur ibu bapa yang menimbulkan isu keselamatan dengan berkata sebelum ini aspek itu tidak mengganggu fikiran mereka langsung.
Kenyataan yang tidak sensitif dan respons terhadap kebakaran tersebut mengakibatkan ibu bapa pelajar yang terselamat mahu mendakwa pihak pengurusan sekolah serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan saman sivil.
Kematian paling menyayat hati tahun ini: Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi
Baru berusia 11 tahun, Thaqif didera oleh pembantu warden di sebuah sekolah agama di Johor. Dalam diarinya, dia menulis tentang ditumbuk dan didera secara lisan dan berdoa agar ibu bapa serta gurunya membenarkannya berpindah ke sekolah lain.
Pada 26 April, Thaqif meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, selepas kakinya dipotong akibat jangkitan bakteria.

Pembantu warden berusia 29 tahun yang pernah disabitkan kesalahan merompak ditahan untuk membantu siasatan selepas beberapa laporan mengatakan dia memukul Thaqif menggunakan paip getah. Dia kemudiannya dibebaskan atas jaminan bon mahkamah RM20,000
Pihak sekolah, Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, mengumumkan kes ditutup selepas bedah siasat kali kedua mendedahkan Thaqif meninggal dunia akibat kencing tikus. Ibu bapanya bagaimanapun enggan menerima keputusan itu disebabkan tiada kes jangkitan lain dilaporkan berlaku.
Pembunuhan tahun ini: Kim Jong-nam
Abang satu bapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada malam Hari Valentine, didakwa dilakukan oleh dua wanita asing yang menyapu agen saraf VX ke mukanya.

Jong-nam, yang mati dalam tempoh satu jam ketika dibawa ke hospital, menggunakan pasport berbeza dan melarikan diri daripada Jong-Un, selama beberapa tahun, berpindah antara Indonesia, Macau, Malaysia dan Singapura.
Kamera litar tertutup di klia2 kemudiannya menunjukkan kedua dua wanita tersebut berjumpa dengan beberapa orang lelaki warga Korea Selatan, yang dipercayai sebagai pengintip, sebelum mereka “menyerang” Jong Nam.
Pembunuhan itu menyebabkan hubungan diplomatik Korea Utara dan Malaysia tergugat dengan kedua-dua negara menahan warga masing-masing sebagai tebusan dengan tidak membenarkan mereka meninggalkan negara.
Malaysia juga dengan segera memanggil kembali dutanya dari Pyongyang manakala Korea Utara menuduh Malaysia membuat rancangan dengan Korea Selatan.
Sementara itu, warga Vietnam Doan Thi Huong dan warga Indonesia, Siti Aisyah menjalani perbicaraan bagi tuduhan membunuh yang akan bersambung tahun hadapan.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah, mengatakan mereka percaya terlibat dalam sebuah rancangan “prank”.
Undang-undang tahun ini: Akta Kesalahan Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak
Pada April, Parlimen meluluskan Rang undang undang Kesalahan kesalahan Seksual terhadap Kanak Kanak, bagi melindungi sesiapa yang berumur 18 tahun daripada penderaan seksual.
Ia mendakwa orang dewasa dengan tujuan seksual, menyentuh mana-mana bahagian tubuh kanak kanak; atau membuatkan kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian tubuh mereka, atau tubuh orang lain. Tindakan seperti itu akan dianggap sebagai serangan seksual fizikal terhadap kanak kanak.
Ia juga akan menjadi kesalahan bagi mana-mana orang dewasa, bagi tujuan seksual, mengeluarkan perkataan atau bunyi; atau membuat isyarat; atau menunjukkan mana-mana bahagian tubuh mereka, dengan niat untuk didengari, atau dilihat oleh kanak-kanak.
Peruntukan utama lain dalam undang-undang baru itu termasuk seksyen pemakaian luar wilayah, di mana semua kanak-kanak Malaysia akan dilindungi daripada pesalah, sama ada warga Malaysia atau asing.
Undang-undang ini juga boleh dipakai terhadap mana-mana warga Malaysia yang melakukan kesalahan “terhadap kanak-kanak di mana-mana tempat” di luar negara.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menubuhkan sebuah mahkamah khas untuk mempercepat perbicaraan kes jenayah seksual kanak-kanak di negara ini, yang dilancarkan pada 22 Jun dan kes pertama dibicarakan pada 4 Julai.
Terdapat 13,272 kes “rogol berkanun” dilaporkan sepanjang tujuh tahun lalu, dengan 2,089 dilaporkan di Johor.
Ia menyumbang sebanyak 59.7% jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Penculikan tahun ini
Penculikan Pastor Raymond Koh yang misteri pada 13 Februari belum selesai dengan tuduhan terhadap aktiviti mubalighnya mengganggu fokus penyiasatan.
Keluarga Pastor Koh menuduh pihak polis lebih berminat dengan dakwaan aktiviti kristianisasinya berbanding menyelesaikan penculikannya.
Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan (Suhakam) memulakan siasatan untuk menentukan sama ada ia kes kehilangan secara paksaan yang melibatkan pihak berkuasa negeri.
Suhakam juga turut aktivis dari Perlis, Amri Che Mat dan pasangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth.
Masyarakat juga membangkitkan kebimbangan tentang peranan polis dalam penculikan dan kemungkinan penyeksaan tiga lelaki Turki, Turgay Karaman, Ihsan Aslan dan Ismet Ozcelik, pada Mei.
Polis berkata mereka tidak diculik cuma “ditahan” dan kemudiannya dihantar pulang ke negara asal kerana didakwa menyokong Fetullah Gulen.
Skandal tahun ini
Firma pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih menjadi tajuk utama apabila ia berjaya membayar hutangnya atau ketika ceramah politik pembangkang.
Bagaimanapun, skandal lain turut mengalih perhatian, menyebabkan rakyat Malaysia tertanya-tanya sama ada ada sabitan akan dibuat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan skandal tanah di Johor bernilai RM35.78 juta yang menyaksikan penangkapan Abd Latif Bandi, seorang ahli majlis eksekutif negeri yang kemudiannya meletakkan jawatannya.
Skandal yang sama turut membabitkan Menteri Besar Johor Khaled Nordin, yang didakwa mengambil rasuah untuk menukar status tanah Bumiputera kepada bukan Bumiputera.
Maklumat itu, bagaimanapun, diperoleh daripada kenyataan saksi SPRM yang bocor dan agensi anti rasuah menuntut siasatan pihak polis.
Sementara itu, pembangkang mempersoalkan mengapa Khaled tidak disoal siasat.
SPRM juga melakukan serbuan di Sabah, menyiasat dakwaan penyelewengan dana persekutuan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa bekas menteri Umno Shafie Apdal memegang jawatan.
Kini, menjadi presiden parti pembangkang, Warisan, Shafie yang ditahan pada Oktober untuk disoal siasat, mendakwa siasatan tersebut bermotifkan politik.
SPRM juga mengambil tindakan terhadap pembelian hotel mewah di London dan Kuching yang melebihi harga pasaran oleh anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation (FIC), dan agensi anti rasuah itu sedang mendapatkan bantuan guaman dari United Kingdom untuk membantu siasatan.
Bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Samad ditahan pada Ogos dan direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Felda menutup tirai 2017 dengan pendedahan dakwaan berlaku penipuan dalam pemindahan hak milik tanah meragukan yang melibatkan syarikat diberi kuasa kuasa oleh FIC untuk membangunkan tanahnya di Jalan Semarak.
Syarikat itu menukar hak milik tanah tersebut yang bernilai RM270 juta, menjadi hak miliknya, tanpa sesen bayaran kepada Felda.
SPRM sendiri tidak lari daripada kontroversi dengan ketua pesuruhjayanya, Dzulkifli Ahmad didakwa menjalinkan hubungan dengan seorang wanita yang tersebarkan di Youtube.
Video pasangan itu diambil ketika mereka bercuti di Bali. Polis telah menyiasat Dzulkifli, di bawah Kanun Keseksaan atas tuduhan “memikat wanita yang telah berkahwin”, tetapi masih tiada berita tentang hasil siasatan tersebut.
Personaliti politik tahun ini: Dr Mahathir Mohamad
Walaupun sudah berusia 93 tahun, bekas perdana menteri itu mendominasi tajuk akhbar, sama ada kerana menggelar Perdana Menteri Najib Razak sebagai pencuri atau mengambil tugas sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Selepas meninggalkan Umno pada Februari tahun – kali kedua dalam tempoh lapan tahun – Dr Mahathir dan timbalan perdana menteri yang dipecat Muhyiddin Yassin menubuhkan Bersatu.

Tetapi pada 14 Julai tahun ini, doktor perubatan itu memikul peranan paling penting sejak bersara daripada kerajaan – sebagai pengerusi PH.
Beliau memulakan siri ceramah di kawasan bandar dan penempatan Felda untuk menggegar kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan Umno.
Tetapi jika bukan kerana Dr Mahathir, gabungan pembangkang itu mungkin menjadi cerita yang berbeza. Bekas presiden Umno itu membawa kepimpinanya ke dalam PH, memastikan struktur, logo, proses membuat keputusan dan jawatan yang lebih baik.
Ini penting kerana pembangkang – PKR, DAP dan PAS – tidak berjaya mengekalkan Pakatan Rakyat (PR) walaupun sudah bersama selama 10 tahun dengan dua pilihan raya umum.
Putrajaya membalas dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap kerugian forex Bank Negara Malaysia semasa era pemerintahan Dr Mahathir, 30 tahun lalu.
PH mendakwa wujudnya double standard, menuduh kerajaan menutup mata terhadap 1MDB yang melibatkan Najib.
Dengan pilihan raya 2018, semua mata tertumpu kepada Dr Mahathir untuk menyaksikan sama ada beliau bakal menjadi ahli Parlimen tertua negara atau perdana menteri tertua di dunia, walaupun hanya untuk tempoh sementara.
Berita ekonomi tahun ini: Malaysia atasi ramalan KDNK
Malaysia melepasi ramalan KDNK walaupun terdapat aduan mengenai kos sara hidup yang tinggi akibat kenaikan harga makanan dan bahan api. Inflasi paling tinggi dalam tempoh enam bulan pada September iaitu 4.3%.
Bank Dunia menyusun semula ramalan pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini daripada 4.9% kepada 5.2% pada Jun, disebabkan pertubuhan lebih tinggi daripada jangkaan 5.7% pada separuh pertama tahun ini.
Pada mulanya, Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4.3%
Tetapi walaupun dengan data ekonomi lebih baik, monopoli, ringgit yang lemah, dan cukai penggunaan dijangka mendorong harga makanan melebehi kadar inflasi beberapa tahun akan datang.
Menurut Institut Kajian Dasar Pertanian & Makanan (IDKM), harga makanan yang tinggi disebabkan beberapa faktor, monopoli ke atas makanan import dan bekalan hasil segar tempatan mempunyai impak terbesar.
Orang ramai yang ditemuramah The Malaysian Insight sepanjang tahun untuk berita kenaikan kos sara hidup sebulat suara berkata gaji yang rendah dan tidak menaik adalah punca utama mereka terus bergelut, walaupun angka makro-ekonomi baik.
Berita sukan tahun ini: Malaysia kutip 145 emas
Malaysia menjadi juara temasya Sukan SEA 2017dengan 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa.
Dengan keseluruhan 323 pingat, ia adalah pencapaian terbaik Malaysia sepanjang penganjuran Sukan SEA.
Ini adalah kali kedua Malaysia menjadi juara selepas berjaya melakukannya pada 2001 dengan memenangi 111 emas, juga sebagai tuan rumah.
Penerjun negara menutup tirai dengan emas lelaki dan wanita dalam terjun 10m platform seirama untuk menyapu bersih kesemua 13 emas yang dipertandingkan di Pusat Akuatik Negara.
Leong Mun Yee dan Traisy Vivien Tukiet tidak menghadapi cabaran mempertahankan emas wanita, manakala dalam acara lelaki, Jellson Jabillin dan Hanis Nazirul Jaya yang berusia 16 tahun tidak mensia siakan peluang mendapatkan emas kali pertama mereka.
Urus niaga perniagaan tahun ini: Geely beli Proton
Perusahaan kereta nasional yang kerugian, Proton akhirnya dijual kepada pembuat kereta China Geely pada Jun.
Walaupun Geely hanya mempunyai 49.99% saham dalam Proton, ia merupakan pengambilalihan besar bagi syarikat China itu yang juga memiliki 51% saham pembuat kereta mewah British, Lotus.
Bagi sahamnya dalam Proton, Geely akan membayar DRB-Hicom RM460 juta (RM170 dalam bentuk tunai dan RM290 dalam bentuk pemindahan platform SUV Geely, Boyue).
Walaupun kerugian, Proton mempunyai pengaruh dalam industri pembuatan negara. Ia membantu industri lebih kecil dan pengusaha tempatan dalam menyokong industri automotif dengan membuat alat ganti.
Pada September 2017, Proton menyaksikan ketua pegawai eksekutif warga asingnya yang pertama apabila melantik Dr Li Chunrong daripada Geely untuk mengetuai operasinya.
Berita iklim tahun ini: Banjir Pulau Pinang
Pada September, Pulau Pinang mencatatkan jumlah hujan pada 270mm, menyebabkan banjir kilat di sekitar pulau dan tanah besarnya.
Pada November, rekod baru sebanyak 315mm jumlah hujan dicatat dalam tempoh semalaman, menyebabkan banjir paling teruk negeri itu yang mengakibatkan tujuh maut dan hampir 13,000 orang berpindah.
Situasi itu sangat teruk sehingga Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk meminta bantuan Putrajaya menerusi satu panggilan telefon pada lewat malam.
Bagaimanapun, aktivis pemuliharaan dan alam sekitar sekian lama memberi amaran tentang bahaya banjir terhadap Pulau Pinang akibat pembangunan pesatnya, ditambah lagi dengan perubahan iklim.
Dewan Perundangan Pulau Pinang pada November diberitahu sebanyak 119 banjir kilat berlaku antara 2013 dan Oktober, menjadikan jumlah minimum sebanyak 20 insiden setahun.
Kerajaan negeri melaksanakan 10 projek tebatan banjir bernilai RM300 juta yang bermula pertengahan tahun ini.
Berita rakyat tahun ini: Kebangkitan persatuan penduduk
Tahun ini menyaksikan lebih ramai penduduk di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Taman Desa, Titiwangsa, dan Bangsar berganding bahu membantah pembinaan projek pembangunan yang dikhuatiri akan menjejaskan mutu kehidupan kawasan kejiranan mereka.
TTDI menyaman pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Datuk Bandar KL disebabkan sebuah projek pembinaan lapan blok pangsapuri mewah setinggi 42 sehingga 54 tingkat, dan satu lagi blok 29 tingkat yang terdiri daripada 550 unit rumah mampu milik.
Sementara itu, penduduk Taman Desa membantah 13 projek kediaman yang dicadangkan di kawasan mereka dan bertemu SPRM mengenai penjualan tanah utiliti kepada pihak pemaju kondominium. Mereka juga bertindak menyaman Datuk Bandar KL disebabkan projek tersebut. – 30 Disember, 2017.


Komen