SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan terhadap pembocoran dokumen kenyataan yang merupakan rakaman percakapan bekas ecxo Johor Abd Latif Bandi yang terlibat dalam skandal tanah sehingga membabitkan Menteri Besar Johor Khaled Nordin.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki berkata, SPRM akan membuat laporan polis mengenai dokumen yang disiarkan di media sosial sehingga menjadi viral.
Azam berkata, SPRM khuatir pembocoran dokumen-dokumen tersebut akan mengganggu prosiding mahkamah memandangkan kes melibatkan bekas exco negeri Johor itu masih dalam perbicaraan.
“SPRM akan membuat satu laporan polis berhubung pembocoran tersebut supaya mereka yang bertanggungjawab memviralkan dokumen-dokumen itu diambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai Wong Shu Qi diarahkan keluar dari persidangan DUN Johor setelah gagal menarik balik kenyataannya yang mengaitkan Khaled dengan skandal hartanah Mac lalu.
Wong menyoal sama ada benar atau tidak Khaled ada menerima wang RM12 juta untuk mengubah status lot perumahan Bumiputera kepada status bukan Bumiputera.
Wong berkata, beliau mendapat maklumat itu dari sebuah laman web yang memuat naik kenyataan saksi dalam siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan skandal tersebut.
Pemimpin Pakatan Harapan Johor hari ini juga mendesak Khaled Nordin menjawab tuduhan itu.
Pakatan Harapan Johor mendesak agar Khaled Nordin tampil ke hadapan dan menjawab persoalan ini dengan kadar segera tanpa berselindung,” menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Pengerusi PH Johor Muhyiddin Yassin, Timbalan-timbalan Pengerusi PH Johor Shahruddin Md Salleh, Aminolhuda Hassan, Hassan Karim dan Liew Chin Tong dan juga Pengarah Pilihanraya PH Johor Salahuddin Ayub.
PH Johor juga mengaitkan hal ini dengan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyebut Johor mempunyai jumlah unit kediaman tidak terjual terbesar iaitu sebanyak 27%. – 28 November, 2017.
Komen