Pakatan Johor gesa Khaled Nordin jawab tuduhan terlibat skandal hartanah


Ikhwan Zulkaflee

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Pengerusi PH Johor Muhyiddin Yassin, Timbalan-timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Johor Shahruddin Md Salleh, Aminolhuda Hassan, Hassan Karim dan Liew Chin Tong dan juga Pengarah Pilihanraya PH Johor Salahuddin Ayub, Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin diminta menjawab tuduhan sama ada beliau ada menerima wang berjumlah RM12 juta dalam skandal hartanah awal tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2017.

PAKATAN Harapan Johor mahu Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin menjawab tuduhan sama ada beliau ada menerima wang berjumlah RM12 juta dalam skandal hartanah awal tahun ini.

Skandal pengubahan status hartanah di negeri tersebut menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dipimpin Khaled gagal memperjuangkan nasib rakyat, kata mereka.

PH Johor juga mengaitkan hal ini dengan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyebut Johor mempunyai jumlah unit kediaman tidak terjual terbesar iaitu sebanyak 27%.

“Oleh itu, Pakatan Harapan Johor mendesak agar Khaled Nordin tampil ke hadapan dan menjawab persoalan ini dengan kadar segera tanpa berselindung,” menurut kenyataan PH Johor yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh Pengerusi PH Johor Muhyiddin Yassin, Timbalan-timbalan Pengerusi PH Johor Shahruddin Md Salleh, Aminolhuda Hassan, Hassan Karim dan Liew Chin Tong dan juga Pengarah Pilihanraya PH Johor Salahuddin Ayub.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai Wong Shu Qi diarahkan keluar dari persidangan DUN Johor setelah gagal menarik balik kenyataannya yang mengaitkan Khaled dengan skandal hartanah Mac lalu.

Wong menyoal sama ada benar atau tidak Khaled ada menerima wang RM12 juta untuk mengubah status lot perumahan Bumiputera kepada status bukan Bumiputera.

Wong berkata, beliau mendapat maklumat itu dari sebuah laman web yang memuat naik kenyataan saksi dalam siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan skandal tersebut. – 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen