Pertandingan 4 penjuru di Kuala Kubu Baharu 


Noel Achariam

Barisan calon yang bertanding pada pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu diumumkan pada hari penamaan calon pilihan raya berkenaan hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 April, 2024.

PILIHAN raya kecil Kuala Kubu Baharu akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya (SPR) Yuhanas Auree Kamaruddin mengumumkan Khairul Azhari Saut akan mewakili PN, Pang Sock Tao untuk PH, Hafizah Zainudin untuk PRM dan Nyau Ke Xin menjadi calon bebas.

Yuhanas berkata tiada borang bagi empat calon itu ditolak apabila penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi.

Beliau bagaimanapun berkata, calon bebas Chng Boon Lai telah menarik diri daripada pencalonan.

Dua calon yang dikenali ialah Khairul yang merupakan pemangku ketua Bersatu Hulu Selangor dan Pang yang merupakan setiausaha akhbar bagi menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Pang diiringi Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Khairul diiringi Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi Bersatu yang lain.

DAP telah memegang kerusi itu sejak 2013.

Pilihan raya kecil 11 Mei itu dicetuskan oleh kematian Adun tiga penggal Lee Kiong Hiong daripada DAP.

Sementara itu, pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei.

KKB ialah kerusi campuran, dengan Melayu merangkumi 50% pengundi, diikuti Cina (30%) dan India (18%).

Pada pilihan raya negeri Selangor tahun lepas, Lee membantu DAP mengekalkan Kuala Kubu Baharu selepas memperoleh majoriti 4,119 undi dalam pertandingan empat penjuru di kerusi DUN itu. – 27 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen