Dewan Rakyat dimaklumkan kekosongan kerusi Parlimen Kemaman


SPR memaklumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kemaman menerusi surat bertarikh 11 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2023.

DEWAN Rakyat hari ini menerima pemakluman kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kemaman, menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata pemakluman kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen berkenaan diberitahu menerusi surat bertarikh 11 Oktober daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh.

Menurut Johari, pemberitahuan itu selaras dengan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, berikutan keputusan Hakim Pilihan Raya pada 26 September yang mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pilihan bagi kawasan Parlimen Kemaman pada 19 November 2022 adalah terbatal.

Beliau berkata penyandang kerusi Parlimen itu Che Alias Hamid daripada PAS juga tidak mengemukakan rayuan yang berakhir semalam (10 Oktober) selaras dengan Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sehubungan itu, beliau berkata SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September membatalkan kemenangan Che Alias di Parlimen Kemaman pada PRU15 selepas mendapati bantuan i-Belia dan i-Siswa diberi kerajaan negeri kepada pengundi semasa tempoh berkempen adalah rasuah.

Pada PRU-15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar Terengganu Ahmad Said.

Pada Jun lepas, kemenangan PN di Parlimen Kuala Terengganu turut dibatalkan atas alasan sama, namun PAS tidak merayu keputusan itu sekali gus membawa kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak dengan PRN di enam negeri lain pada bulan lepas. – Bernama, 11 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen