PRK Kemaman: Pusat undi ditutup, proses penjumlahan undi bermula


Menurut SPR, peratusan keluar mengundi yang direkodkan setakat 4 petang ialah 60% daripada 141,043 pengundi pengundi berdaftar. – Gambar Facebook, 2 Disember, 2023.

PROSES pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang bermula sejak 8 pagi tadi selesai selepas 49 pusat pengundian ditutup jam 6 petang.

Semua peti undi dari 49 pusat mengundi melibatkan 244 saluran mengundi akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman di Chukai, sebelum keputusan rasmi diumumkan, dijangka jam 9 malam ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi yang direkodkan setakat 4 petang ialah 60% daripada 141,043 pengundi pengundi berdaftar.

Sebelum in,i 387 anggota Polis Diraja Malaysia dan enam anggota tentera yang sepatutnya mengundi awal pada 28 November diarah melaksanakan undi secara pos bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.

Manakala, pada 28 November lepas, proses pengundian awal tetap dijalankan di Balai Polis Kijal di Chukai melibatkan hanya tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan Che Alias Hamid daripada PAS, pada Pilihan Raya Umum Ke-15. – Bernama, 2 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen