Pecat wakil rakyat yang gagal


G Manimaran

Wakil rakyat perlu hadir setiap sidang Parlimen setiap hari kecuali ada urusan yang tidak dapat dielakkan ataupun sakit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2023.

SEPANJANG khidmat sebagai wartawan dan pemerhati pilihan raya, saya telah berpeluang untuk membuat liputan media dan tinjauan umum banyak pilihan raya kecil (PRK).

Pemerhatian menunjukkan banyak yang seharusnya telah dilakukan oleh wakil rakyat demi kepentingan pengundi dan rakyat di kawasan masing-masing.

Kadangkala saya hairan mengapa sebahagian besar kawasan jauh ketinggalan daripada kemudahan dan prasaranan asas yang diperlukan. Bukan satu dua, tetapi terlalu banyak.

Malah ada yang membuat gurauan kita perlu ada banyak PRK untuk melihat kemajuan dan pembangunan yang sebenar untuk rakyat.

Ketika setiap PRK banyak isu setempat dibangkitkan ketika tempoh berkempen.

Banyak PRK dan PRU telah dilangsungkan sepanjang lebih enam dekad yang lalu.

Bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga di Sabah dan Sarawak. Enam dekad bermakna lebih 22,000 hari telah berlalu.

Satu tempoh yang panjang untuk melakukan kesemua yang diperlukan secara holistik demi rakyat.

Malangnya pemantauan menunjukkan kebanyakan kawasan kelihatan ketinggalan dalam banyak aspek kemajuan. Saya sebenarnya sedih dan kecewa dengan keadaan itu.

Di mana kesilapan? Dan, di manakah kekurangannya sehingga menyebabkan kebanyakan kawasan tidak menikmati kemudahan dan pembangunan yang seharusnya telah dirasai sejak negara merdeka dan Persekutuan Malaysia dibentuk.

Nampaknya pilihan raya dan pemilihan wakil rakyat telah gagal dalam merealisasikan misi platform bernama demokrasi.

Adakah ia juga berkait rapat dengan kekurangan dana? Atau wakil rakyat telah gagal dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka?

Atau ia juga berkait rapat dengan kegagalan pelaksana pembangunan di peringkat daerah, yang sewajarnya melaksanakan pelan pembangunan secara lestasi.

Atau situasi itu disebabkan oleh kelemahan kepimpinan kerajaan negeri dan kerajaan pusat?

Terdapat banyak sebab sehingga rakyat menuding jari ke arah wakil rakyat yang dipilih menerusi PRU atau PRK.

Persepsi itu meletakkan wakil rakyat, sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mahupun Ahli Parlimen, dalam keadaan serba salah.

Ada pengundi bertanya apa yang dilakukan oleh wakil rakyat di dewan perundangan. Adalah wakil rakyat gagal dalam membawa suara rakyat secara membina?

Keadaan itu meletakkan aspek prestasi dan pencapaian wakil rakyat dalam situasi sukar.

Malah keadaam bertambah buruk dengan isu ponteng sesi dewan perundangan. Malah kualiti perbahasan di dewan perundangan menjadi tanda soal.

Baru-baru ini Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul mengemukakan beberapa langkah serius yang perlu dilaksanakan termasuk memotong elaun Ahli Parlimen jika mereka terus tidak hadiri sesi sidang parlimen.

Menurut Johari beliau perlu melaksanakan sesuatu yang lebih ketat untuk meningkatkan kehadiran ahli Parlimen kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan parlimen yang diwakili.

Malah menurut beliau ada cadangan termasuk daripada bekas Speaker Mohamad Ariff Md Yusof yang mahu Peraturan Mesyuarat Parlimen dipinda untuk memudah cara pelaksanaan tindakan sedemikian.

Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat itu kadang-kadang ahli Parlimen tidak hadir selama beberapa hari tetapi beliau tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan walaupun mereka dibayar RM500 sebagai elaun harian.

Ia merupakan salah satu aspek yang berkaitan dengan prestasi.

Kita perlu melihat prestasi wakil rakyat dengan serius. Jika kita mahu menaikkan martabat dewan perundangan, kedua-dua parlimen dan dewan undangan negeri (DUN), pendekatan tegas diperlukan untuk memastikan setiap wakil rakyat melaksanakan tugas mereka dengan baik.

Tugas utama wakil rakyat ialah memenuhi tanggungjawab sebagai anggota dewan perundangan.

Bermakna mereka perlu hadir setiap sidang setiap hari kecuali ada urusan yang tidak dapat dielakkan ataupun sakit.

Malah menariknya ada ahli Parlimen yang pernah hadir sidang parlimen ketika Covid-19 semata-mata untuk mengundi.

Kehadiran mereka meskipun dijangkiti Covid-19 dengan pakaian ‘rasmi’ keselamatan menunjukkan setiap wakil rakyat boleh hadir tidak kira situasi dan masa.

Semuanya memerlukan kemahuan dan iltizam diri. Boleh sebenarnya!

Bagi menteri dan timbalan menteri dan para exco juga wajar hadir setiap sidang memandangkan setiap sidang telah diaturkan lebih awal, dan dalam kebanyakan masa, kita tahu bahawa dewan perundangan akan bersidang antara Mac-April, Jun-Julai dan Oktober-Disember setiap tahun.

Jadi mengapa sukar untuk hadir dan melaksanakan tugas mereka yang sewajarnya.

Maka tiada alasan kononnya tidak ada masa untuk hadir dengan mengaturkan jadual masing-masing lebih awal.

Rakyat mengharapkan wakil rakyat mereka akan lebih serius dalam memastikan mereka hadir setiap sidang dewan perundangan dan pada masa yang sama menyelesaikan setiap keperluan rakyat.

Wakil rakyat merupakan suara rakyat dan pengundi.

Ponteng dan tidak hadir sidang merupakan salah satu aspek yang mengukur tahap prestasi mereka.

Terdapat banyak lagi aspek yang boleh dipertimbangkan untuk mengukur tahap prestasi mereka lalu menyediakan kad laporan untuk tatapan pengundi mereka.

Isu prestasi wakil rakyat bukan perkara baharu. Sebaliknya ia telah lama menjadi isu besar apabila berbicara mengenai paras prestasi wakil rakyat, termasuk menteri, timbalan menteri dan anggota Majlis Kerajaan Negeri.

Sudah sampai masa bagi kita mengukur tahap prestasi wakil rakyat dengan menggunakan satu sistem yang sistematik dan empirikal dalam menentukan prestasi mereka.

Parlimen dan DUN perlu menggariskan kerangka aspek yang boleh dijadikan asas dalam menentukan prestasi dan pencapaian wakil rakyat.

Jika wakil rakyat gagal dalam memenuhi keperluan asas pengundi mereka, mereka wajar dipecat dan digantikan dengan orang lain.

PRK merupakan salah satu solusi. Wakil rakyat juga perlu berundur secara sukarela jika mereka gagal. Mandat baharu diperlukan dan perlu kembali kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat baharu.

Rekod prestasi berkualiti wajar dijadikan budaya dalam kalangan wakit rakyat.

Ini bukan sahaja tanggungjawab dewan perundangan, tetapi juga Suruhankaya Pilihan Raya (SPR).

Sebagai langkah makro, sudah sampai masa untuk mewujudkan sebuah entiti bebas, berkecuali dan profesional untuk tujuan mengukur prestasi wakil rakyat dalam pelbagai sudut.

Penilaian perlu dibuat setiap tahun dan tindakan harus diambil secara berkala.

Saya setuju dengan idea Yang Dipertua Dewan Rakyat. Masa untuk merealisasikan idea beliau, sekali gus memartabatkan institusi parlimen dan DUN.

Pendekatan ini bukan satu pembaziran tetapi satu langkah ke hadapan untuk memperkasakan institusi dewan rakyat dan anggotanya, iaitu wakil rakyat demi rakyat. – 6 November, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen