Pilihan raya Liberia berlangsung hari ini


Rakyat Liberia berbaris di luar pusat mengundi semasa pilihan raya presiden dan umum di Sekolah Awam Kendeja di Paynesville, di luar Monrovia, Liberia hari ini. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2023.

PILIHAN raya presiden dan parlimen Liberia berlangsung hari ini dengan penyandang Presiden George Weah bertanding untuk penggal kedua menentang 19 calon lain, lapor Sputnik.

Weah, pemimpin Coalition For Democratic Change, satu daripada dua parti pemerintah di Parlimen Liberia menyandarkan harapan kepada kejayaannya melaksanakan skim tuisyen percuma untuk mahasiswa universiti awam mengurangkan sehingga separuh kos elektrik negara serta beberapa projek pembinaan jalan raya.

Bagaimanapun kenaikan harga makanan, penurunan taraf hidup serta rasuah dan nepotisme di negara itu boleh menggagalkan percubaannya.

Lawan utama Weah ketua Unity Party yang sama-sama memerintah, Joseph Boakai dan pernah menjadi menteri pertanian serta naib presiden Liberia dalam kempennya berjanji untuk meningkatkan pengeluaran beras domestik dan membuka beberapa hab jentera pertanian dalam negara.

Calon ketiga paling popular, Alexander Cummings dari Collaborating Political Parties memberi tumpuan kepada usaha untuk mempelbagaikan ekonomi Liberia dan menubuhkan mahkamah jenayah perang untuk mendakwa pelaku tindakan tidak berperikemanusiaan semasa perang saudara negara itu pada tahun 1990-an. – Bernama, 10 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen