Calon bersih, pilihan raya bersih


G Manimaran

Politik dan pengurusan pilihan raya harus bebas daripada persepsi negatif bahawa rakyat disajikan dengan calon yang terpalit dengan elemen rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2023.

SEMALAM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meraikan ulang tahun penubuhan ke-56. Dua hari lalu, ketua pesuruhjayanya Azam Baki memberitahu bahawa pihaknya tiada kuasa dalam menentukan sama ada seseorang yang terpalit isu rasuah layak bertanding atau tidak dalam pilihan raya.

Seterusnya beliau menjelaskan bahawa kuasa itu terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku pengawal atur urusan pilihan raya.

Betul kata Azam. Kedua-dua perkara yang disentuh itu ada kebenaran. SPRM tiada kuasa dan ia terletak di bawah bidang kuasa SPR selaku badan tunggal pengurusan pilihan raya di negara kita.

Malah, SPR juga tiada kuasa. Ini kerana tiada peruntukan bagi SPR melaksanakan perkara tersebut. Undang-undang semasa tidak membolehkan seseorang yang didakwa dan disabitkan kesalahan unsur rasuah daripada bertanding dan memegang kerusi yang dimenangi.

Pun begitu kita pernah menyaksikan kes seseorang itu tidak boleh menjadi calon jika disabitkan di bawah kesalahan-kesalahan lain.

Sebagai contoh, naib presiden PKR ketika itu, Tian Chua tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Batu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2018 selepas pegawai pengurus pilihan raya membatalkan kertas pencalonan beliau.

Pegawai pengurus pilihan raya membuat keputusan itu berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis, walaupun mengurangkan hukuman denda kepada RM2,000.

Keputusan itu didakwa bertentangan dengan pegawai pengurus pilihan raya pada PRU12 (pada 2013) yang membenarkan Tian Chua bertanding walaupun ketika itu beliau disabitkan bersalah untuk satu kes mahkamah lain dan juga dikenakan denda RM2,000.

Beberapa kes kemenangan telah dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya di bawah petisyen yang difailkan apabila elemen rasuah dibuktikan telah berlaku semasa kempen pilihan raya.

Namun dalam keadaan tertentu, individu atau wakil rakyat terbabit masih boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya, kecuali dihalang berbuat demikian dengan keputusan mahkamah.

Oleh itu, SPRM dan SPR tiada kuasa yang lebih mantap buat masa ini. Lebih-lebih lagi bagi SPR sebagai badan pengurus pilihan raya yang diletakkan harapan dan kepercayaan dalam mengendalikan pilihan raya adil, bersih dan cekap.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamidi yang mewakili PAS pada PRU15 19 November lalu. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan pengundi bagi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Hakim dilaporkan membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi dalam keputusan pilihan raya bagi kerusi parlimen berkenaan.

Ia keputusan petisyen kedua melibatkan kerusi parlimen, juga di Terengganu. Dua bulan lalu mahkamah membuat keputusan atas dasar atau alasan yang sama melibatkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Pilihan raya kecil diadakan selepas calon dari PAS memutuskan untuk tidak membuat rayuan. Calon yang sama bertanding mewakili parti itu dan menang dalam pilihan raya kecil.

Kini ada pihak menimbulkan kelayakan calon yang sama bertanding. Lazimnya mengikut peruntukan undang-undang semasa seseorang calon, ejen atau wakil mereka tidak boleh bertanding selama lima tahun dalam mana-mana pilihan raya termasuk pilihan raya kecil jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya. Dalam sesetengah kes, perkara itu tidak begitu jelas. Oleh itu ia mencetuskan kekeliruan.

Daripada sudut pilihan raya, isu rasuah melibatkan dua sudut. Pertamanya, mereka yang melakukan atau terlibat dalam rasuah di luar parameter pilihan raya. Rasuah yang dilakukan di luar landskap pilihan raya, iaitu kesalahan-kesalahan yang digariskan di bawah Akta SPRM. Terdapat pelbagai bentuk kesalahan rasuah yang diperuntukkan oleh Akta SPRM.

Kedua, amalan rasuah yang ditakrifkan oleh Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Terdapat peruntukan khusus yang menggariskan, menghuraikan dan mentakrifkan kesalahan bersifat rasuah, dan perkara itu boleh dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan menerusi kaedah petisyen pilihan raya. Lazimnya itu yang berlaku dan kita saksikan. Jarang ada keadaan di mana SPR membawa seseorang calon atau mana-mana individu yang dipercayai melakukan rasuah semasa pilihan raya ke mahkamah.

Terdapat ruang lintup yang jelas mengenai rasuah semasa pilihan raya. Bagaimanapun pada masa yang sama peruntukan sedia ada masih belum cukup mantap dalam menyediakan parameter yang lebih jelas dalam menangani rasuah, dan memastikan calon yang bertanding benar-benar bersih dan boleh bertanding dalam pilihan raya, sekali gus mewujudkan persekitaran politik yang bebas rasuah dan tinggi budaya berintegriti.

Timbul pelbagai persoalan mengenai sempadan peruntukan sedia ada dalam menentukan kelayakan dan kebolehan mereka yang disabitkan kesalahan rasuah daripada bertanding – sama ada yang berkaitan dengan kempen pilihan raya ataupun sebaliknya.

Kekaburan seumpama itu yang mencetuskan dan menimbulkan pelbagai tanggapan, andaian dan persepsi bahawa gelanggang pilihan raya negara tidak adil, tidak efektif dan tidak bebas.

Melihat daripada sudut makro atau nasional, sudah tiba masa untuk melihat keperluan untuk membetulkan perkara-perkara yang menjadi isu dan dijadikan isu politik pada hari ini. Ini termasuklah mereka yang terpalit dalam unsur rasuah semasa pilihan raya dan disabitkan bersalah daripada bertanding semula.

Kita perlu melihat dengan lebih luas. Melihat secara makro dalam menangani isu kelayakan bertanding ini.

Kita perlu ada peruntukan yang lebih tegas yang melarang sesiapa sahaja yang disabitkan kesalahan rasuah atau dihadapkan ke mahkamah daripada bertanding dalam mana-mana pilihan raya. Jika benar-benar mahu bertegas dalam melahirkan negara bebas daripada rasuah, peruntukan lebih tegas dalam soal kelayakan bertanding diperlukan. Bukan sahaja rasuah, tetapi juga apa jua kesalahan jenayah.

Calon, ahli politik dan wakil rakyat perlu menjadi contoh kepada masyarakat. Jika mereka tidak mampu menawarkan kepimpinan yang bermoral tinggi, mereka tidak wajar bertanding. Mereka tidak harus bertanding. Undang-undang perlu menyediakan peruntukan larangan ini.

Perlu ada peruntukan yang lebih padu dan konkrit dalam Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan syarat-syarat kelayakan bertanding. Kita perlu bertegas dalam perkara ini. Perlu ada peruntukan lebih tegas yang melarang mereka yang terpalit dengan kesalahan jenayah, apa jua kesalahan, daripada bertanding dan dipilih menjadi anggota dewan perundangan.

Undang-undang semasa termasuk Akta Kesalahan Pilihan Raya perlu disemak dan dipinda demi melahirkan landskap pilihan raya yang dinamik. SPR perlu diberi kuasa dalam menentukan syarat dan larangan kelayakan bertanding dalam pilihan raya.

Tugas dan fungsi SPR bukan setakat mengadakan pilihan raya, tetapi memastikan integriti pilihan raya kita adalah cukup tinggi. Politik dan pengurusan pilihan raya harus bebas daripada persepsi negatif bahawa rakyat disajikan dengan calon yang terpalit dengan elemen rasuah. Calon perlu bebas rasuah, dan pilihan raya juga harus bebas daripada calon-calon rasuah.

Sekali lagi jangan sampai ada pihak yang kekal mendakwa menjadi mangsa apabila tiada peruntukan undang-undang. Oleh itu, kita perlu sediakan peruntukan yang sesuai lagi relevan. Boleh kita lakukan? Saya cukup yakin kita boleh melakukannya. – 2 Oktober, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen