PROSES pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) bermula dengan 18 pusat mengundi dengan 74 saluran dibuka hari ini.
Pusat mengundi dibuka pada jam 8 pagi serentak dan 39,269 pengundi layak mengundi.
Proses pengundian akan berlangsung sehingga 6 petang di semua tempat mengundi kecuali Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser yang akan ditutup pada 2 petang kerana ia hanya menampung 40 pengundi.
Penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor manakala keputusan rasmi dijangka diumumkan pada pukul 10 malam.
PRK ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan Pang Sock Tao (PH/DAP), Khairul Azhari Saut (PN/Bersatu), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan calon bebas Nyau Ke Xin.
Bagaimanapun tiada seorang pun daripada empat calon itu akan mengundi kerana mereka bukan pengundi berdaftar di kawasan itu.

Kawasan KKB mempunyai pengundi campuran Melayu (53.4)%, Cina (30.5%), dan India (15.82%). Bakinya terdiri daripada Orang Asli dan lain-lain.
Golongan muda dalam kumpulan umur 21-30 merupakan blok pengundi terbesar iaitu 9,400.
Selasa lalu 97% atau 769 anggota polis dan tentera serta pasangan mereka membuang undi pada pengundian awal.
Kerusi itu kosong berikutan kematian Adun Pakatan Harapan Lee Kee Hiong, 58, daripada DAP pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Pada pilihan raya negeri Ogos tahun lalu, Lee menewaskan pencabar daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Muda dengan majoriti 4,119 undi untuk mengekalkan kerusi itu untuk penggal ketiga berturut-turut. – 11 Mei, 2024.
Komen