Kontrak Azam sebagai ketua SPRM dilanjut setahun


KERAJAAN melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama setahun lagi.

Kontraknya dijangka tamat pada 12 Mei.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali berkata Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan lanjutan kontrak itu.

Ini adalah lanjutan kontrak tahun kedua untuk Azam.

Beliau dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 berikutan peletakan jawatan pendahulunya, Latheefa Koya, selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Tahun lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusannya untuk tidak menggantikan Azam, berkata beliau mahu melanggar konvensyen bahawa pertukaran pengawal dalam agensi itu perlu apabila perdana menteri baharu dilantik.

Anwar berkata keputusannya juga dipengaruhi oleh status SPRM sebagai badan bebas. – 10 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen