SPRM mohon lanjut reman anak MB dan individu lain, kata Azam Baki


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata lebih ramai lagi dijangka dipanggil untuk membantu siasatan kes tuntutan palsu RM600,000. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2024.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memohon lanjutan reman terhadap anak menteri besar Perlis dan lima individu lain yang ditahan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu RM600,000, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Beliau juga berkata lebih ramai lagi dijangka dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kami akan memanggil beberapa lagi untuk merakamkan kenyataan mereka,” kata Azam kepada pemberita selepas merasmikan pejabat SPRM di Gua Musang hari ini.

Beliau juga berkata perintah reman baharu bagi kesemua suspek yang ditahan adalah perlu kerana tempoh reman yang diberikan tidak mencukupi untuk mereka melengkapkan siasatan awal.

Pada Rabu, enam individu ditahan di Kangar oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan RM600,000 bagi kontrak kerja awam kerajaan mulai 2022.

Mahkamah Majistret Kangar membenarkan keenam-enam mereka termasuk seorang pegawai kanan negeri direman oleh SPRM selama dua hari. Perintah reman mereka tamat esok.

Mereka yang direman berusia antara 26 dan 37 tahun serta mereka ditahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menteri besar Perlis Mohd Shukri Ramli mengesahkan anaknya adalah antara yang ditahan dan berkata SPRM perlu dibenarkan untuk menyiasat kes mereka.

Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis berkata beliau tidak akan campur tangan dan menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat anaknya.

Sementara itu Azam juga berkata SPRM akan menumpukan siasatan terhadap projek pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) bernilai RM25 juta di Putrajaya membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia.

“FAM menjalankan pengambilalihan melalui tender dan sebagainya dan menyerahkan semula kepada Fifa untuk pemilihan akhir. Fifa bersetuju dengan syarikat itu,” katanya.

Azam berkata oleh itu kedua-dua FAM dan Fifa terlibat dalam kes itu.

“Oleh itu untuk berlaku adil kepada semua orang kami sedang menyiasat isu ini,” katanya.

Azam berkata SPRM tidak akan mengambil tindakan berhubung isu pentadbiran dalam organisasi (FAM) seperti hal gaji dan sebagainya.

“SPRM menganggap ini sebagai kes yang melibatkan kepentingan awam, jadi kita telah melihat maklumat yang diberikan dan hanya fokus kepada satu isu sahaja,” katanya. – 25 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen