SPRM siasat FAM, ambil fail, kata laporan


SPRM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tetapi memberi ruang untuk siasatan dijalankan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2024.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak Rabu, kata Azam Baki.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu dilaporkan berkata beberapa fail daripada FAM juga telah diambil sebagai sebahagian daripada siasatan.

“Kebanyakan isu yang disebut (dalam surat layang) tersebut berkaitan hal pentadbiran, dan SPRM tidak akan meneliti perkara tersebut. SPRM hanya akan membuat siasatan terhadap dakwaan isu jenayah.

“Setakat ini, kami tidak mahu mendedahkan sebarang butiran kerana siasatan sedang dijalankan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dalam pada itu Azam menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tetapi memberi ruang untuk siasatan dijalankan. 

“SPRM akan menjalankan siasatan secara profesional dan bertindak adil kepada semua pihak yang terbabit,” katanya.

Surat layang berbentuk e-mel oleh pengirim menggunakan nama UltrasFAM tersebar di media sosial berkenaan salah urus dana dan penipuan dalam FAM, serta mendakwa Presiden FAM Hamidin Mohd Amin menerima gaji mencecah sehingga RM90,000 sebulan. – 6 April, 2024.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen