Dana Aman Palestin tidak boleh dikeluarkan hingga siasatan selesai, kata SPRM


Siasatan terhadap Aman Palestin Bhd berhubung dakwaan keraguan dalam aktiviti pengumpulan derma untuk rakyat Palestin masih berterusan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2023.

GESAAN bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membenarkan RM10 juta yang disimpan dalam akaun bank Aman Palestin yang dibekukan, dibidas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan terhadap akaun kumpulan masyarakat sivil itu masih dijalankan dan dana tidak boleh dikeluarkan.

“Berhubung akaun Aman Palestin yang dibekukan, SPRM masih menyiasat kesahihan transaksi dan tuntutan sebelum ini.

“Memandangkan perkara ini, SPRM tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan dana itu sehingga semua siasatan selesai dan penjelasan diperolehi berhubung penggunaan  terhadap derma awam berjumlah juta ringgit.

“Sebagai badan penguatkuasaan antirasuah utama, SPRM memandang serius kes ini kerana ia adalah kepentingan awam, dan berkemungkinan akan menjadi contoh bagaimana derma awam boleh dan tidak boleh digunakan,” kata Azam dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Dr Mahathir meminta SPRM melepaskan wang itu dan membenarkan Aman Palestin menyalurkan bantuan musim sejuk kepada negara yang dilanda perang di Timur Tengah, sementara siasatan dijalankan.

Minggu lalu, SPRM membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin Bhd berjumlah RM15.86 juta.

Ia berkata sejak 17 Oktober, SPRM berkata ia menyerbu pejabat Aman Palestin dan merampas dokumen pengurusan kewangan dan operasi sejak lima tahun lalu.

“Siasatan dijalankan bagi mendapatkan maklumat berhubung kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

“SPRM sudah mengambil keterangan saksi dan siasatan awal telah mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan RM70 juta, yang dialihkan untuk tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat itu,” kata SPRM.

Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dan Kanun Keseksaan. – 1 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen