BADAN pemantau alam sekitar Rimba Watch bimbang 85,000 hektar “hutan tidak diganggu” dan “hutan terdegradasi” di Sabah dan Sarawak berpotensi untuk dijual.
Dalam satu kenyataan ia berkata sejumlah sembilan bidang tanah diiklankan untuk dijual itu adalah sebesar tiga kali ganda saiz Kuala Lumpur, lebih besar dari Pulau Pinang, malah lebih besar daripada Perlis.
Jualan itu disenaraikan di platform Mudah.my dan Facebook Marketplace, kata Rimba Watch.
Ia berkata analisis geospatial terhadap bidang tanah untuk dijual itu mendapati 54,629 hektar diklasifikasikan sebagai “hutan tidak diganggu” dan selebihnya 30,476 sebagai “hutan terdegradasi”.
“Keseluruhan, ia terdiri daripada 85,105 hektar hutan yang mungkin terancam jika ia berjaya dijual.
“Enam daripada senarai jualan ditemui di Facebook Marketplace dan selebihnya di Mudah.my,” katanya.
Badan pemantau itu berkata senarai jualan untuk tanah berkenaan tidak memberikan butiran lengkap tetapi adan menyebut ia tidak sesuai bagi sektor pertanian.
Sesetengah peta yang dikepilkan bersama senarai iklan itu kelihatan seperti ukuran rasmi dilakukan pejabat tanah berkaitan, sementara sebahagian senarai lain ada disertakan surat rasmi, cadangan projek dan butiran maklumat lain, kata Rimba Watch.
Menurut Rimba Watch, tanah yang diiklankan untuk dijual adalah:
1. 54,454 hektar di Silat, Sarawak berhampiran sempadan Kalimantan. Ia terdiri daripada beberapa konsesi yang dikatakan zon untuk kegunaan campuran atau kelapa sawit. Tanah ini hampir dengan beberapa perkampungan termasuk Long Tikan.
2. 297 hektar di Tongod, Sabah yang terletak di dalam atau bersebelahan dengan Hutan Simpan Milian Labau.
3. 10,926 hektar di Pulau Banggi, Sabah yang diiklankan untuk pertanian.
4. 14,163 hektar berhampiran Kapit, Sarawak.
5. 1,758 hektar berhampiran Bintulu, Sarawak.
6. 4,627 hektar berhampiran Patah, Sarawak.
7. 323 hektar hutan paya bakau berhampiran Sibu, Sarawak.
8. 2,189 hektar berhampiran Lundu, Sarawak.
9. 275 hektar berhampiran Kota Belud, Sabah.
Rimba Watch berkata kerajaan Sarawak perlu menyiasat jualan tanah ini, berikutan iklan itu turut disertakan dengan peta dan maklumat konsesi. – 26 Julai, 2024.
Komen