PBB akan kemuka cadangan persempadanan semula di Sarawak, kata Abang Johari


Kata Abang Johari, isu persempadanan semula itu masih dalam kajian PBB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2024.

PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengemukakan cadangan mengenai urusan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Presidennya Abang Johari Openg berkata partinya mempunyai jawatankuasa khusus yang bertanggungjawab untuk melihat isu persempadanan semula.

“Buat masa ini perkara itu (persempadanan semula) masih lagi dalam kajian. Kita akan buat cadangan sahaja kerana keputusan muktamad adalah pada SPR,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Dataran Ibu Pertiwi di Kuching, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan di Sarawak.

Beliau berkata urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Menurut Abdul Ghani, urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu selesai dijalankan pada 2018 manakala bagi Sarawak dan Sabah masing-masing pada 2015 dan 2017.

Beliau berkata sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan perdana menteri oleh SPR, serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan. – Bernama, 1 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen