Muhyiddin yakin Perikatan menang PRK Kuala Kubu Bharu


Noel Achariam

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (tengah) yakin gabungan itu boleh menang PRK Kuala Lubu Bharu jika lebih 80% pengundi Melayu keluar mengundi pada 11 Mei ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 April, 2024.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yakin gabungan itu akan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang disandang DAP sejak 2013.

Katanya PN boleh menang jika lebih 80% pengundi Melayu keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan pada 11 Mei nanti.

“Dari segi logiknya, di sini ada 47% Melayu, 30% pengundi Cina, India (18%) dan 5% lain-lain termasuk Orang Asli.

“Andai dicongak kasar, jika pengundi Melayu keluar lebih 80%, kita menang,” kata Muhyiddin kepada media di Pusat Penamaan Calon PRK Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor hari ini.

PRK Kuala Kubu Bharu akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PN, Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia dan calon Bebas.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya (SPR) Yuhanas Auree Kamaruddin mengumumkan Khairul Azhari Saut akan mewakili PN, Pang Sock Tao (PH), Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Muhyiddin selain itu berkata PN mencalonkan Khairul Azhari kerana desakan sebahagian besar pengundi yang mahu kawasan mereka diwakili wakil rakyat Melayu.

Beliau juga yakin isu yang dihadapi rakyat ketika ini terutamanya isu kos sara hidup akan memberi kelebihan kepada PN.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kiong Hiong dari DAP meninggal dunia akibat kanser pada 21 Mac lalu. – 27 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen