Lima didakwa bunuh, seorang subahat dalam kes bunuh kadet UPNM


Muzliza Mustafa

Suspek kes bunuh kadet UPNM tiba untuk didakwa di Mahkamah Jalan Duta hari ini. Lima mereka didakwa membunuh, seorang bersubahat. – Gambar The Insight Malaysia oleh Nazir Sufari, 14 Jun, 2017.

LIMA kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa membunuh rakan kadet mereka Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini.

Seorang lagi kadet didakwa bersubahat dalam jenayah kejam di mana Zulfarhan diseksa kerana didakwa mencuri sebuah komputer riba.

Ibu bapa enam tertuduh itu adalah antara mereka yang hadir di ruang mahkamah yang sesak tengahari ini.

Majistret Siti Radziah Kamaruddin menetapkan 14 Ogos untuk mendengar sebutan kes.

Lima kadet yang didakwa membunuh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Rozi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri, semua berusia 21 tahun.

Manakala kadet Abdoul Hakeem Mohd Ali yang juga berusia 21 tahun didakwa kerana bersubahat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik 04-10 dorm Jebat di Kem Tentera Sungai Besi antara jam 4.45 hingga 5.45 pagi pada 22 Mei lepas.

Mereka juga didakwa di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan untuk mendapatkan pengakuan palsu, bersama-sama dengan 13 kadet UPNM yang lain.

Semua mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 dan 22 Mei di sebuah bilik di dorm Jebat.

Majistret Siti Radziah menetapkan 18 Julai untuk pendengaran kes.

Dia juga menetapkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Tertuduh dan suspek yang tahanan reman mereka berakhir hari ini adalah antara 36 orang yang ditahan polis bagi membantu siasatan pembunuhan Zulfarhan.

Empat orang sudah dibebaskan minggu lepas selepas reman mereka berakhir dan tahanan reman untuk 32 lagi dilanjutkan selama lima hari untuk membantu siasatan.

Zulfarhan diseksa sehingga mati selepas dia dituduh mencuri komputer riba. Dia meninggal dunia pada 1 Jun kerana melecur tahap dua dan tiga di 80 peratus badannya akibat didera dengan seterika wap. – 14 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen