DALAM kesayuannya, ibu T. Nhaveen merayu kepada menteri jangan membiarkan apa yang berlaku kepada anak lelakinya itu, terkena pada orang lain.
D. Shanti membuat rayuan itu pada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim yang hadir ke pusat pengebumian Bukit Gantung di Pulau Pinang semalam, untuk memberi penghormatan terakhir kepada Nhaveen, lapor The Star.
“Biarlah kematian anak saya ini yang terakhir. Jangan biarkan sesuatu macam ini berlaku lagi. Tolonglah jangan biarkan ia berlaku pada anak lain. Kasihani ibu bapa mereka.
“Kasihan anak saya. Saya tak boleh bayangkan kesakitan yang terpaksa ditanggungnya. Tidak ada sesiapa yang membantunya,” kata Shanti kepada Rohani.
The Star melaporkan Rohani turut menangis ketika bercakap dengan wartawan semalam.
Beliau berkata kementeriannya akan memulakan kempen, dari sekolah ke sekolah untuk membanteras buli.
“Kami akan memasukkan kempen anti buli dalam siri jelajah mengenai Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 dan jenayah seksual. Ia akan bermula selepas Aidilfitri,” katanya.
Nhaveen dari Taman Tun Sardon, Pulau Pinang dipukul sekumpulan remaja lelaki pada Jumaat lalu. Sebahagian penyerang berkenaan adalah bekas rakan sekolahnya yang pernah membulinya dulu.
Ketika dibawa ke Hospital Pulau Pinang awal pagi Sabtu, Nhaveen sudah tidak sedarkan diri.
Dia meninggal dunia pada petang Khamis.
Polis setakat ini menahan lima suspek yang disiasat atas kesalahan membunuh. – 17 Jun, 2017.
Komen