MADRASAH yang dikatakan terlibat dalam kes kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi hari ini bersyukur kerana kes tersebut dianggap selesai dan membuktikan kebenaran sebenar.
Pengetua Mohammad Afdhaluddin Ismail berkata, berdasarkan keputusan laporan bedah siasat semalam mengesahkan bahawa tiada sama sekali kes penderaan yang berlaku di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) di Kota Tinggi, Johor.
“Sebagaimana yang kami yakini dan kami jelaskan sebelum ini berasaskan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kerana seluruh kawasan madrasah berada di bawah pemantauan yang baik.
“Walau bagaimanapun kami bersyukur dan mengambil pengajaran dalam menambah baik SOP (standard of procedure) dan memperkemas sistem sedia ada demi kemajuan MTAJ di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kematian Thaqif pada April lalu disahkan akibat leptospirosis atau penyakit kencing tikus, dedah laporan bedah siasat kedua.
“Kami di MTAJ memanjatkan syukur ke hadrat Allah kerana kes ini boleh dianggap selesai selepas kenyataan perubatan ini dikeluarkan dan menunjukkan kebenarannya.
“Dalam pada masa sama kami menzahirkan kesedihan di atas penyakit yang menimpa bekas pelajar kami, Thaqif,” katanya.
Kes kematian Thaqif mendapat liputan meluas media selepas laporan bedah siasat pertama menunjukkan kesan penderaan.
Pembantu warden berusia 29 tahun sekolah itu ditahan untuk membantu siasatan kerana dilaporkan memukul Thaqif dengan paip getah.
Dia yang memiliki rekod jenayah kes samun kemudiannya dibebaskan dengan bon mahkamah RM20,000. – 11 Julai, 2017.
Komen