KEMATIAN pelajar tahfiz Muhammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pada April lalu disahkan akibat leptospirosis atau penyakit kencing tikus, dedah laporan bedah siasat kedua.
Ibunya Felda Wani Ahmad, 40, mempertikaikan mengapa pihak polis dan hospital tidak memaklumkan keputusan bedah siasat itu kepada ibu bapa, sebaliknya memberitahu wartawan hari ini.
“Kami sebagai ibu bapa dinafikan keputusan bedah siasat. Kenapa beritahu wartawan dulu? Kenapa tak beritahu kami sebagai ibu bapa?
“Saya terkejut kenapa polis dan hospital tidak beritahu kami dulu.
“Saya masih terperanjat dan rasakan keputusan itu tidak logik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ketua polis Johor, Kamarul Zaman Mamat memberitahu The Malaysian Insight, polis dimaklumkan berhubung keputusan bedah siasat kedua itu beberapa hari lalu.
“Kami menunggu laporan penuh keputusan itu diserahkan kepada polis untuk diserahkan kepada timbalan pendakwaraya dalam minggu ini juga,” kata Kamarul Zaman.
Felda yang juga guru sekolah rendah mempersoalkan jika Thaqif dijangkiti penyakit itu, mengapa hanya anaknya seorang saja kena sementara pelajar tahfiz lain atau pun ahli keluarganya tidak terjangkit.
“Kami boleh terima pemergian dia (Thaqif). Tapi tidak boleh terima keputusan bedah siasat itu. Tak logik,” katanya.
Berikutan keputusan itu, Felda berkata keluarganya mengambil keputusan untuk mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam.
“Peguam akan minta hantar surat kepada pengarah kesihatan untuk dapatkan laporan perubatan penuh,” katanya.
Kes kematian Thaqif mendapat liputan meluas media selepas laporan bedah siasat pertama menunjukkan kesan penderaan.
Pembantu warden berusia 29 tahun sekolah itu ditahan untuk membantu siasatan kerana dilaporkan memukul Thaqif dengan paip getah.
Dia yang pernah memiliki rekod jenayah lampau kes samun kemudiannya dibebaskan dengan bon mahkamah RM20,000. – 10 Julai, 2017.

Komen