TOPIK hangat Pulau Pinang, banjir kilat dan pembangunan di kawasan tanah tinggi, dijangka akan dibahaskan dalam persidangan dewan undangan negeri (DUN) hari ini.
Exco negeri Chow Kon Yeow dijadualkan membentangkan usul tergempar berhubung banjir kilat melanda Pulau Pinang yang bermula dengan hujan lebat dan angin kuat pada petang Sabtu, sehingga mengorbankan tujuh orang dan ribuan lagi terpaksa dipindahkan, semalam.
Wakil rakyat negeri sudah pun mula membincangkan isu banjir dan pembangunan minggu lalu, apabila Chow yang bertanggungjawab terhadap kerajaan tempatan dan tebatan banjir, memberitahu negeri itu mengalami 119 insiden banjir kilat antara 2013 dan bulan lalu.
Ini menjadikan minimum 20 kejadian setiap tahun – 22 banjir kilat pada 2013, 20 lagi pada 20144, 26 insiden 2016 dan 21 pada tahun ini sehingga 15 Oktober.
Pada 21 Oktober, tanah runtuh di kawasan pembangunan berhampiran kuari menyebabkan 11 pekerja terbunuh.
Semalam, Chow berkata hujan lebat menyebabkan banjir pada hujung minggu lalu pada ketinggian 315mm, tertinggi dalam sejarah negeri itu. Beliau mengakui sistem perparitan negeri, sama ada secara semula jadi atau dibina, tidak dapat menampung air bah.
Pulau Pinang berjanji untuk melaksanakan 10 projek tebatan banjir bernilai RM300 juta yang bermula pertengahan tahun ini.
Kekerapan banjir kilat sejak beberapa tahun ini mendorong kumpulan kepentingan awam di negeri itu memberi amaran yang keadaan menjadi semakin buruk.
Mereka berkata perubahan cuaca akan menjadikan corak cuaca bertambah dan mereka semalam mendesak lagi perancangan lebih holistik serta menghentikan pembangunan di cerun bukit.
Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) berkata warga Pulau Pinang terpaksa berdepan kejadian banjir yang berang di kawasan lebih rendah dan kini berdepan kawasan baharu susulan pembangunan di kawasan berhampiran atau di cerun bukit.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) membangkitkan kebimbangan tentang pengairan sungai dan pembangunan berlebihan hingga menyebabkan banjir kilat sering berlaku.
Mereka berkata Pulau Pinang perlu menghentikan semua kerja di rizab sungai dan berhampiran cerun atau bukit, walaupun di bawah paras 76m dari aras laut, dengan semua projek yang sudah lulus perlu ditangguhkan.
Banjir dan pembangunan
Bagaimanapun, banjir kilat menjadi bahan politik dengan pentadbiran negeri Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) saling menuding jari siapa yang lebih banyak lakukan sesuatu untuk tangani banjir.
Selepas banjir melanda Pulau Pinang susulan hujan lebat luar biasa akibat Taufan Doksuri pada 15 September, BN berkata RM2.6 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-11 untuk tebatan banjir sejak 2006.
Kerajaan Pulau Pinang kemudian berkata BN tidak membelanjakan sebanyak itu – hanya RM443 juta daripada pindaan peruntukan RM461 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-3.
Chow berkata jumlah sebenar perbelanjaan BN menunjukkan banyak projek tebatan banjir di negeri itu tidak mampu menangani banjir kilat sepenuhnya.
Beliau berkata kerajaan negeri mengetepikan dananya sendiri untuk pihak berkuasa tempatan melaksanakan projek tebatan banjir di seluruh negeri.
Tanah runtuh di tapak pembinaan Tanjung Bungah berhampiran kawasan tanah tinggi pada 11 Oktober mencetuskan satu lagi kemarahan mengenai pembangunan di cerun tinggi, dengan kumpulan persatuan penduduk dan NGO menekankan kaitan antara pembangunan berlebihan dengan bencana alam seperti ini.
Penasihat undang-undang NGO Citizens Awareness Chant Group (Chant), Yan Lee Yan Lee berkata kerajaan negeri sepatutnya tidak menunggu kerajaan persekutuan memberikan dana untuk projek tebatan banjir.
Katanya, kerajaan negeri mengumpul wang yang mencukupi daripada caj pembangunan yang dinaikkan terhadap pemaju.
Dilaporkan pada 2015, caj pembangunan untuk perumahan dinaikkan 300% daripada RM5 kepada RM15 bagi setiap kaki persegi, dan daripada RM7 kepada RM21 kaki persegi untuk projek komersial.
“Saya dengar mereka kutip banyak wang daripada caj pembangunan. Gunalah wang itu untuk tebatan banjir. Kenapa perlu tunggu kerajaan persekutuan? Buat dulu untuk kepentingan rakyat,” kata Lee. – 6 November, 2017.
Komen