Ahli keluarga mangsa akan saman MAIWP dan pengurusan tahfiz


Muzliza Mustafa

Bapa mangsa kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Nur Azizan Abd Razak berkata, semua pihak yang berkait dengan kejadian itu seperti cuba untuk "cuci tangan" (menjauhkan diri) dari berjumpa dengan ahli keluarga mangsa kejadian yang menyayat hati seluruh rakyat Malaysia itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 November, 2017.

AHLI keluarga mangsa kebakaran pusat tahfiz pada 14 September lalu akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pihak pengurusan tahfiz atas tuduhan cuai, kata salah seorang ahli keluarga mangsa itu, Nur Azizan Abdul Razak.

Dalam kejadian kebakaran yang dipercayai berunsur dendam itu, anak lelaki beliau, Mohd Taufiq Hidayat, 16, merupakan salah seorang daripada 23 mangsa kejadian yang meninggal dunia.

Azizan berkata, mereka telah memutuskan untuk melantik wakil peguam untuk memfailkan kes sivil terhadap pusat tahfiz itu dan juga MAIWP selepas mereka menemui sedikit perbezaan maklumat selepas kejadian itu.

Dalam kejadian pada 14 September lalu, seramai 23 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz itu terkorban, manakala enam pelajar mengalami kecederaan apabila terperangkap dalam premis Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar pada pukul 5.15 pagi.

Tambah Azizan, semua orang kelihatan hendak “cuci tangan” dari terlibat dengan kes itu.

“Majlis agama menafikan mereka memiliki bangunan atau sekolah itu, walaupun nama ada tertera di papan tanda sekolah. Mereka beri kami nama yang lain dan berterusan mengelak,” kata Azizan.

Selain itu pihak keluarga mangsa mendapati, sistem pendaftaran sekolah juga tidak dikemas kini.

“Kami dapati ada pelajar yang tidak didaftar walaupun mereka masuk belajar. Ada ibu bapa yang hantar dua anaknya ke situ, tetapi hanya satu nama sahaja ada dalam senarai manakala seorang lagi tidak tersenarai. Mujurlah dia tak meninggal,” kata Azizan lagi.

Azizan kelihatan bermuram durja asyik mengangguk dan mengulang kata bahawa banyak perkara yang keluarga mangsa tidak selesa.

Namun beliau mengelak untuk bercerita lanjut.

“Ada banyak benda nak dicakap. Ini bukan sebab duit. Tapi macam mana kita nak perbaiki kalau kita tak boleh berhubung dengan pihak sekolah dengan baik? Malah kami tak boleh berjumpa dengan guru besar pun,” kata Azizan.

Beliau dan ibu bapa mangsa berada di mahkamah Jalan Duta pagi ini untuk mengikuti perbicaraan pembakaran pusat tahfiz yang dikelaskan sebagai tindakan membunuh.

Beliau juga tidak dibenarkan memasuki kamar mahkamah untuk prosiding memandangkan suspek yang didakwa membunuh itu di bawah umur.

Hakim Siti Raziah Kamarudin memutuskan 3 Januari depan untuk tarikh sebutan kes.

Terdapat lima peguam yang menghadiri sesi mahkamah hari ini.

Tambah Azizan, sehingga hari ini, guru besar, Mohd Zahid Mahmood gagal untuk berjumpa dengan ahli keluarga mangsa.

Sebelum ini mereka telah memutuskan untuk berjumpa pada 30 September, namun guru besar itu mengelak dari berjumpa.

“Bila call tak angkat. Bila terjumpa dia cakap sibuk. Sibuk buat apa dengan urusan dunia. Ini anak murid kau mati ni. Patut dia berkongsi kasih dengan kita, bagaimana benda boleh jadi begitu. Ni biarkan terabai macam tu. Jadi waris ni sampai sekarang dok bertanya. Jadi kami telah melantik lawyer kami sendiri untuk lakukan saman sivil. Dalam proses semua ni,” katanya.

Azizan berkata, Zahid patut berjumpa dengan ahli keluarga mangsa untuk berkongsi rasa sedih.

“Dia kelihangan pelajar. Kami kehilangan anak-anak. Awak boleh ganti pelajar, tapi kami tak boleh ganti anak-anak kami.

“Datang dan bincang, atau sekurangnya dengar apa kami nak cakap. Kami ada banyak benda nak beritahu dan kongsikan. Ini untuk memperbaiki mutu sekolah. Kami tak mahu perkara sama berulang lagi.”

Dalam pada itu, Hartini Abd Ghani yang kehilangan anak lelaki, Mohamed Ridzuan Nik Azalan, 12, mengelak daripada bercakap mengenai tindakan undang-undang.

“Siapa beritahu kamu mengenai ini? Ibu bapa ini mudah saja. Kami bersedih. Kami mahukan perhatian.

“Pihak sekolah patut pujuk kami, ibu bapa ini. Mereka patut berkomunikasi. Kalau dia (Zahid) sibuk, carilah orang lain yang mampu jawab kepada kami, yang dapat dengar luahan kami.”

Katanya, kenyataan Zahid sebelum ini mengenai ibu bapa mangsa sangat memedihkan.

“Dia tanya kenapa baru sekarang ibu bapa nak tanya mengenai tahap keselamatan sekolah. Sekolah itu dah beroperasi 16 tahun. Ini dah macam tanya budak-budak 16 tahun pasal sijil lahir mereka. Anak saya mati dalam jagaan mereka.”

Tambah Hartini, dia tidak akan bertolak ansur untuk menyaman sesiapa yang menuduh ibu bapa mangsa sebagai “tamak.”

“Kami tak tamak. Ini bukan sebab duit.”

Pada 28 September, enam remaja berumur antara 12 dan 18 tahun yang disyaki sebagai penyebab kebakaran telah didakwa membunuh 23 pelajar tahfiz itu.

Tujuh suspek itu ditahan sejak 16 September. – 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen