4 remaja didakwa bunuh Nhaveen


Looi Sue-Chern

Mereka turut didakwa kerana mengakibatkan kecederaan kepada seorang lagi mangsa serangan, T. Previin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 19 Jun, 2017.

EMPAT remaja didakwa membunuh T. Nhaveen, 18, di Mahkamah Majistret George Town hari ini.

J.Ragesuthen dan S.Gokulan kedua-duanya berusia 18 tahun, manakala nama dua lagi remaja yang berusia 16 tahun dan masih bersekolah itu tidak dilaporkan kerana faktor umur.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan remaja kelima yang berusia 18 tahun pada 9 Jun antara jam 11 malam hingga 12.30 pagi berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor.

Keempat-empat mereka tidak diwakili peguam. Mereka mengatakan mereka memahami dakwaan yang dikenakan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman mati.

Tiada rayuan direkodkan dan ikat jamin tidak ditawarkan.

Remaja kelima dibebaskan dengan ikat jamin di bawah Seksyen 118 Kod Prosedur Jenayah dan akan memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid menentapkan 28 September depan untuk pendengaran kes.

Dalam perbicaraan lain, keempat-empat mereka juga didakwa menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara merbahaya di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana memukul T.Previin yang berusia 19 tahun, yang turut diserang bersama Nhaveen.

Empat remaja berkenaan dilihat tenang ketika mereka mohon dibicarakan untuk kesalahan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan denda atau sebatan sekiranya sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Seksyen Irwan Suaibon menetapkan 21 Ogos depan untuk pendengaran kes kerana menunggu laporan kimia.

Dia memberitahu tertuduh yang tidak diwakili itu yang mereka boleh memohon khidmat bantuan guaman.

Previin, yang merupakan rakan sejak kecil Nhaveen, berjaya melepaskan diri dengan kecederaan dan membantu polis mengenalpasti lima suspek terlibat dalam serangan itu. – 19 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen