HIDUP lima keluarga, yang anak lelaki mereka didakwa membunuh remaja T. Nhaveen menjadi gelap gelita.
Walaupun sebelum kelima-lima remaja itu didakwa, keluarga mereka sudah dihukum orang ramai.
Keluarga salah seorang suspek berusia 18 tahun itu berkata yang tuduhan liwat yang dilaporkan media dan tular di media sosial yang menghancurkan kehidupan mereka.
Mereka menggelarkan ia berita palsu yang merosakkan hidup mereka dan peluang untuk mencari peguam yang sudi mewakili anak mereka.
Ayah remaja lelaki itu berkata tiada peguam kaum India yang akan mengambil kes mereka kerana tuduhan liwat itu.
”Siapa kata ada liwat? Kenapa media melaporkan ada liwat? Adakah mereka melihat ia berlaku?
“Adakah mereka didakwa kerana liwat, Seksyen 377C? Awak beritahu saya daripada mana tuduhan liwat ini muncul.
“Laporan bedah siasat mengatakan yang mangsa meninggal kerana dipukul benda tumpul,” kata ayah yang kecewa itu kepada The Malaysian Insight di Komplek Mahkamah Pulau Pinang hari ini.
Seksyen 377C Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii tanpa izin.
Anak lelaki itu bersama tiga yang lain didakwa membunuh Nhaveen dan mengakibatkan kecederaan menggunakan senjata atau cara merbahaya kepada kawan Nhaveen, T. Previin, 19.
Isnin lalu, keluarga Nhaveen mengadakan sidang media mendakwa dia juga diserang secara seksual apabila mengetahui daripada doktor tentang kecederaan di dubur dan alat kelaminnya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Timbalan Pesuruhjaya Anuar Omar berkata Selasa lalu yang pertimbangan polis tentang undang-undang mana yang akan digunakan bergantung kepada laporan polis tentang kecederaan Nhaveen.
Nhaveen dipukul sekumpulan remaja lelaki pada 9 Jun dan terus koma sehingga meninggal dunia pada Khamis lepas jam 5.31 petang.
Ayah yang marah itu berkata ada gambar orang dipukul yang cedera tular di media sosial yang dikatakan gambar Nhaveen tetapi bukan.
Katanya lagi, dia bukan mahu mengatakan yang anaknya tidak bersalah tetapi dia marah kerana tiada sesiapa yang kisah mengenai cerita di pihak mereka.
“Sekiranya dia bersalah, dia bersalah. Tetapi kenapa orang ramai menghukum keluarga? Mengapa mereka kata tidak perlukan mahkamah untuk tentukan (siapa yang bersalah)?”
“Bagi kami, mudah sahaja. Biar polis, peguam dan mahkamah buat kerja mereka,” katanya.
Dia juga bengang apabila ahli politik masuk campur dalam masalah yang tiada kaitan dengan mereka.
“Mereka hanya gunakan kes ini untuk publisiti mereka,” katanya.
Isteri lelaki itu, ibu kepada suspek berusia 18 tahun mengatakan yang dia dipanggil pelacur dan diberitahu yang dia tidak sepatutnya melahirkan anaknya.
“Ada yang kata mereka hendak bunuh anak saya. Ada orang yang hebahkan gambarnya dan yang lain di media sosial,” katanya.
Disebabkan serangan di media sosial itu, katanya lagi mereka tidak boleh pergi bekerja, dan ada keluarga suspek terlibat terpaksa berhenti menghantar anak mereka ke sekolah sejak kejadian itu.
”Malah ada orang yang pergi ke sekolah salah seorang suspek dan cuba menggali maklumat dia dan keluarganya.
“Keluarga sangat takut. Adik beradik tidak boleh ke sekolah. Semua orang dihukum sebelum mahkamah mendengar kes ini,” katanya.
Wanita itu berkata yang dia cuba mengatur pertemuan dengan ibu Nhaveen minggu lepas tetapi masa ketika itu tidak sesuai dan kemudiannya Nhaveen meninggal dunia.
Katanya sebagai seorang ibu, dia juga merasakan perasaan menderita keluarga mangsa.
“Masa yang sesuai (untuk berjumpa dengannya) tidak pernah muncul,” katanya.
Abang remaja yang didakwa itu berkata keluarganya berdoa supaya Nhaveen selamat dan mereka kini secara terbuka memohon maaf kepada keluarganya.
Katanya lagi, keluarganya kini sedang mencari peguam untuk adik lelakinya selepas peguam mereka V.Parthipan berhenti mewakili mereka.
Parthipan mewakili empat suspek itu ketika mereka dalam tahanan reman tetapi dia dilaporkan berkata yang dia bukan lagi peguam mereka kerana dia tidak menerima arahan selanjutnya.
“Kami mahu mengupah peguam jenayah. Kami akan mencari seorang. Kami perlu bela dia.
“Dia satu-satunya adik saya. Saya perlu jaga dia,” katanya kepada wartawan di luar Mahkamah Majistret selepas empat suspek itu didakwa.
Dia juga berkata yang mereka mahu kejadian liwat itu berhenti dilaporkan kerana tiada bukti.
“Kami mahu mendapat keadilan untuk keluarga kami juga. Orang akan bercakap perkara ini seminggu, dua tetapi untuk kami ia diingati selamanya.
“(Kehidupan) Kami hancur kerana dakwaan liwat itu,” kata ejen hartanah berusia 26 tahun itu.
Katanya, keluarganya dan keluarga suspek lain yang terlibat merasa dipinggirkan dalam penderitaan mereka kerana semua komuniti India mencerca mereka.
“Siapa yang kami ada? Orang ramai? Peguam? Ahli politik?
”Kadang-kadang kami terfikir lebih baik tukar agama dan jadi orang Kristian atau Islam,” katanya. – 19 Jun, 2017.
Komen