Sah, gandingan Dr Mahathir-Anwar pimpin PH berdepan PRU14


Amin Iskandar

SAH, Dr Mahathir Mohamad akan berganding bahu dengan bekas musuh ketatnya Anwar Ibrahim untuk menggulingkan Perdana Menteri Najib Razak.

Selain itu Pakatan Harapan (PH) mengumumkan, kedua-dua tokoh itu akan turut dibantu Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai persiapan melawan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Pengumuman ini mengesahkan laporan The Malaysian Insight semalam PH bersetuju gandingan Dr Mahathir-Anwar  memimpin mereka untuk berdepan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada sidang media selepas lebih empat jam bermesyuarat, Dr Mahathir mengumumkan Anwar akan menjadi ketua umum, beliau sendiri sebagai pengerusi dan Wan Azizah sebagai presiden Majlis Presiden PH.

Selain itu, jawatan timbalan-timbalan presiden PH terdiri daripada Muhyiddin Yassin (Bersatu), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah).

Sementara naib-naib presiden PH pula terdiri daripada Mohamed Azmin Ali (PKR), Mukhriz Mahathir (Bersatu),  Chong Chieng Jen (DAP) dan Salahuddin Ayub (Amanah).

Jawatan ketua setiausaha diisi Saifuddin Abdullah (PKR) dan bendahari ialah M. Kula Segaran (DAP).

Tidak kelihatan hadir pada mesyuarat di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya malam semalam ialah Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng daripada DAP dan Azmin daripada PKR.

Dr Mahathir bagaimanapun enggan mengulas siapakah calon perdana menteri PH pada PRU14 akan datang.

“Yang itu kita akan isytihar tak lama lagi.”

Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dalam mood yang ceria ketika megumumkan barisan Majlis Presiden PH. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 Julai, 2017.

Menurut Dr Mahathir, sekiranya PH berjaya mengambil alih Putrajaya pada PRU14, proses pembebasan Anwar akan dilakukan dalam tempoh seminggu selepas kerajaan dibentuk.

“Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan membolehkan Anwar kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya.

Pada sidang media itu juga, pemimpin-pemimpin PH yang turut hadir dalam mesyuarat memegang logo baharu mereka.

Menurut Dr Mahathir, PH juga akan melaksanakan perkara-perkara berikut dalam tempoh 100 hari pertama selepas membentuk kerajaan:

* Menghapuskan GST

* Menstabilkan harga petrol

* Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat

* Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh

* Memerangi rasuah hingga ke akar umbi

* Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja Skandal 1MDB 

* Memulihkan Felda. – 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen