SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat 14 syarikat Sabah dalam siasatan penyelewengan dana awam RM48 juta yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan luar bandar, lapor akhbar The Sunday Star.
Memetik sumber tidak mahu dinamakan dalam agensi anti rasuah itu, laporan itu mengatakan 14 syarikat itu dikatakan dianugerahkan pelbagai projek pembangunan Sabah mempunyai hubungan dengan seorang ahli politik kanan.
“Datuk ini mengumpulkan 14 syarikat yang tidak semestinya miliknya, tetapi dia boleh pengaruh kerana ia milik keluarga dan rakan-rakannya,” kata sumber itu lagi seperti dipetik The Star.
“RM48 juta yang dicuri mungkin hanya sebahagian kecil penyelewengan dana yang berlaku itu,” katanya.
Siasatan itu adalah sebahagian daripada siasatan menyeluruh SPRM dalam penyelewengan dana awam RM1.5 bilion Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk pelbagai projek pembangunan di Sabah. Selain beberapa orang pegawai kementerian, bekas menterinya, Shafie Apdal juga ditahan reman lapan hari awal bulan ini untuk membantu siasatan.
Jaringan perniagaan yang kompleks digunakan mereka yang terlibat dalam penyelewengan itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, kata The Star.
Menurut laporan, kos projek pembangunan itu dinaikkan sehingga 25% dan syarikat itu mengambil 15% daripada RM1.5 bilion tersebut atau RM48 juta. Wang itu kemudiannya disalurkan kepada perniagaan dan individu berbeza.
Shafie yang dibebaskan Jumaat lepas adalah menteri kementerian itu daripada 2009 hingga 2015 sebelum meninggalkan Umno dan menerajui Warisan, parti pembangkang baru di Sabah.
Ahli Parlimen Semporna itu mengatakan dia akan bercakap tentang penahanannya serta menjelaskan dakwaan korupsi dilakukan Ketua Menteri Sabah Musa Aman di Parlimen. – 29 Oktober, 2017.
Komen