SPRM tahan Isa Samad


Isa Samad sebelum ini pernah disoal siasat berkaitan pembelian hotel di London itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2017.

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Isa Samad hari ini berkaitan pembelian hotel di London dan Kuching, Sarawak dilakukan Felda Investment Corporation (FIC).

Bekas pengerusi Felda Global Ventures Bhd (FGV) itu sebelum ini pernah disoal siasat berhubung urus niaga itu. Dia meletakkan jawatan dalam FGV sebelum dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dua bulan lalu.

Isa tiba bersama dua peguam di ibu pejabat SPRM Putrajata kira-kira jam 2.40 petang tadi tetapi hanya Isa memasuki pejabat agensi pencegahan rasuah negara itu, lapor Bernama hari ini.

FIC, anak syarikat Felda yang terlibat dalam aktiviti perniagaan bukan perladangan terpalit dengan skandal itu apabila SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London pada 16 Disember 2014 dengan harga RM330 juta.

Siasatan itu dibuka berasaskan dakwaan yang FIC membayar harga melebihi harga pasaran dalam urus niaga itu menyebabkan ia mengalami kerugian. Bekas CEO FIC Mohd Zaid Abdul Jalil ditahan reman bagi membantu siasatan.

Ketika proses siasatan berlaku, SPRM juga menemui bukti salah urus tadbir korporat dan membuka satu lagi kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak dan dua orang ditahan untuk membantu siasatan. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahan tersebut, mengatakan ia merupakan tindakan susulan hasil daripada keterangan yang dirakam pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel tersebut sebelum ini.

“Justeru itu, SPRM yakin mempunyai  asas yang kukuh untuk membuat penahanan tersebut supaya dapat membantu melengkapkan siasatan kes tersebut,” tambah beliau. – 15 Ogos, 2017.

MENYUSUL LAGI


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen