Dua individu ditahan bantu siasatan kes Hotel FIC


SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh FIC, dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian jutaan ringgit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembelian sebuah hotel mewah di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh Felda Investment Corporation (FIC) .

Sumber SPRM berkata, suspek yang ditahan adalah seorang peguam dan pembantu wanita yang disyaki terlibat menguruskan proses dokumentasi perjanjian jual beli di antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum ia dijual kepada FIC.

“Suspek pertama adalah seorang peguam berusia 44 tahun yang beroperasi di Kuala Lumpur manakala suspek wanita berusia 29 tahun adalah pembantu perundangan di firma undang-undang itu.

“Kedua-dua mereka ditahan sekitar jam 4 petang di ibu pejabat SPRM Putrajaya,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Sumber itu berkata peguam itu juga mempunyai kaitan dengan pemilik syarikat yang membuat urusan jual beli hotel dengan FIC.

“Suspek wanita pula dipercayai turut memainkan peranan penting terlibat dalam menandatangani perjanjian jual beli itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. 

“SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada lebih ramai lagi individu yang ditahan selepas ini,” katanya.

Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Putrajaya esok untuk membantu siasatan.

Penahanan terbaru ini menjadikan tiga orang ditahan SPRM setakat ini bagi membantu siasatan pembelian hotel tersebut.

Isnin lepas, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC berusia 46 tahun direman empat hari  (sehingga 4 Ogos) bagi membantu siasatan itu. Dia ditahan di Ibu Pejabat SPRM setelah hampir 12 jam  memberi keterangan berkaitan kes berkenaan. 

SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh FIC, dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London pada £60 juta (RM330 juta) pada 16 Dis 2014. –  Bernama, 3 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen