Kes hotel London, reman bekas CEO FIC dilanjutkan


Muzliza Mustafa

Seorang peguam dan pembantu undang-undang yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan pembelian hotel oleh FIC dibawa ke mahkamah hari ini dan direman lima hari. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 Ogos, 2017.

REMAN bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation (FIC) Mohd Zaid Abdul Jalil dilanjutkan empat hari lagi bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian hotel bertaraf empat bintang di London.

Zaid dibawa ke mahkamah di Putrajaya jam 9 pagi tadi menggunakan kerusi roda susulan menghidapi komplikasi perubatan.

Majistret Muhamad Safuan Azhar membenarkan permohonan SPRM untuk mendapatkan lanjutan reman empat hari, bukannya tujuh hari seperti diminta suruhanjaya itu.

Remannya akan berakhir pada 8 Ogos.

Sementara itu, seorang peguam dan pembantu undang-undangnya yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan pembelian hotel itu semalam direman lima hari.

Mereka direman bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap pembelian hartanah mewah di Kensington, London, antara 2013 dan 2015 dengan jumlah keseluruhan £60 juta (RM330 juta).

Bernama sebelum ini melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan dibuka terhadap pembelian hotel itu yang disyaki dibeli pada harga lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Tiga individu termasuk pemilik hotel yang direman untuk membantu siasatan SPRM terhadap pembelian hotel di Kuching oleh FIC pada 2014 sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000, hari ini.

Pemilik hotel berusia 57 tahun ditahan di pejabat SPRM di Kuching sementara dua yang lain di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada hujung minggu lalu.

Dipercayai FIC, syarikat pelaburan Felda membayar lebih daripada harga pasaran sebenar untuk membeli hartanah itu, menyebabkan syarikat itu kerugian jutaan ringgi.

Dzulkifli dalam satu program bual bicara disiarkan TV3 pada Rabu berkata siasatan pembelian hotel FIC itu siap 60%.

Katanya, lebih masa diperlukan kerana ia membabitkan hartanah di luar negara. – 4 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen