TERESA Kok berhak mendapat perlindungan undang-undang daripada penjenayah susulan ugutan bunuh diterima ahli Parlimen Seputeh itu, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata PAS menggesa siasatan segera dilakukan dan hukuman dikenakan terhadap pihak yang terbabit dalam mengugut bekas menteri itu.
Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Baru berkata insiden keganasan semakin menjadi-jadi di negara ini, membabitkan ahli politik, anggota keselamatan, atlet dan ahli perniagaan.
“Kok sebagai rakyat dan ahli Parlimen, layak menerima semua perlindungan yang ada mengikut undang-undang sebagai individu dan juga ahli politik. Beliau berhak hidup dengan aman dan bebas daripada rasa takut dengan ugutan.
“PAS tahu polis sudah memulakan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan berharap siasatan dapat selesai dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan menyokong Kok hari ini.
Semalam dilaporkan Kok menerima ugutan bunuh menerusi surat dihantar ke rumahnya berserta dua peluru.
Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata menemui surat dan peluru itu di dalam kotak surat pada Sabtu malam dan membuat laporan polis.
“Saya sedang memeriksa peti surat saya di kediaman saya malam tadi dan saya terjumpa satu sampul surat dengan sesuatu yang berat di dalamnya.
“Apabila saya membukanya, saya ternampak dua butir peluru dengan sekeping kertas dan tertulis di atasnya perkataan ‘C*b*ilu Cina?!!! Lu Akan Mati!!! TUNGGU!!!’,” tulisnya.
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa mengesahkan menerima laporan itu, berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Turut mengutuk ugutan itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata keganasan seperti itu tidak mempunyai tempat dalam politik negara.
“Kami mengutuk ugutan bunuh terhadap naib presiden DAP Teresa Kok. Keganasan seperti itu tidak ada tempat di negara kami dan kami bersolidariti dengan Kok dalam perkara ini,” katanya. – 20 Mei, 2024.
Komen