Pelajar pakai hitam bukan tanda protes, kata VC UiTM


Pelajar pakai baju hitam adalah ekspresi yang menunjukkan jati diri mereka sebagai pelajar UiTM, kata Naib Canselor Sahib Sahibuddin. – Gambar Facebook, 20 Mei, 2024.

NAIB Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sahib Sahibuddin mempertahankan pelajarnya yang memakai baju hitam di kampus, berkata tindakan itu adalah penzahiran identiti, bukannya sebagai satu bentuk protes.

“Bagi saya ini bukan bantahan, kerana kalau nak bantah ini kita buat suatu keputusan. Sebenarnya tiada keputusan dibuat.

“Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sendiri pun mengatakan ini bukan bantahan dan saya pun anggap ini ekspresi yang menunjukkan jati diri mereka sebagai pelajar UiTM.

“Mereka rasa daripada segi undang-undang tubuh Akta 173 1976 akta UiTM itu memanglah perkara 1 (A) menyatakan UiTM ditubuhkan atas perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan) yang ini hangat diperdebatkan,” katanya dipetik berkata dalam laporan Malaysiakini.

Sahib ditemui majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara UiTM dengan Ohio University semalam.

Pada 15 Mei, MPP UiTM menyeru pelajarnya memakai pakaian hitam untuk membantah cadangan membuka program pascasiswazah latihan teknikal pakar jantung kepada pegawai perubatan bukan Bumiputera.

Mereka turut mengajak pelajar memuat naik gambar bersama tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai menyokong kempen yang dilancarkan sejak semalam.

“Objektif penubuhan UiTM adalah untuk memastikan mahasiswa kurang berkemampuan dalam kalangan bumiputera untuk mendapat akses di pengajian tinggi.

“Kami sebulat suara menyokong agar UiTM kekal dengan objektif asal penubuhannya iaitu untuk melindungi dan memajukan pelajar Bumiputera sebagai benteng pertahanan keistimewaan dan kemajuan bangsa,” kata MPP UiTM.

UiTM satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Ketika ditanya berkenaan langkah UiTM membenarkan kemasukan pelajar asing namun tidak kepada pelajar bukan Bumiputera, Shahrin berkata program itu bertujuan menjana pendapatan universiti.

“Kami mengambil pendekatan memastikan pelajar ini menyumbang kerana kita mengenakan yuran penuh dan bagi saya mudah jika kerajaan bagi dana penuh kepada UiTM tiada keperluan kita ambil pelajar asing,” katanya.

Setakat ini, UiTM mempunyai 1,600 pelajar antarabangsa dalam pengajian pasca siswazah.

Pada Sabtu, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata tidak ada pihak yang boleh bertegas mendesak UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera.

“Jangan ganggu UiTM, UiTM kekal milik Bumiputera dulu, kini dan selamanya.” – 20 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen