Johor catat kes rogol kanak-kanak tertinggi, kata menteri


Muzliza Mustafa

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Karim mendedahkan jumlah itu di Parlimen hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2017.

JOHOR ialah negeri paling tinggi merekodkan kes rogol kanak-kanak dengan 2,089 kes dilaporkan sejak 2010, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim di Parlimen pagi ini.

Beliau berkata yang angka itu ialah sebahagian daripada 13,272 kes rogol kanak-kanak yang dilaporkan sejak tujuh tahun lalu, jenayah itu ialah yang terbanyak berlaku terhadap kanak-kanak iaitu sebanyak 59.7%.

“Diikuti dengan kes pencabulan sebanyak 6,014 iaitu 27.04% manakalah sumbang mahram ialah 1,766 kes atau 8.07%, seks luar tabii berjumlah 1,152 kes iaitu 5.18%,” katanya menjawab soalan yang diberikan Ahli Parlimen Ampang Zuraidah Kamaruddin.

Rohani berkata rogol kanak-kanak ialah kes tertinggi di Johor, sementara Sabah mencatatkan kes sumbang mahram tertinggi sebanyak 263 kes.

Sementara itu, Selangor mencatatkan kes seks luar tabii sebanyak 235 kes dan pencabulan terhadap kanak-kanak direkodkan sebanyak 1,052 kes.

Untuk jenayah bukan seksual terhadap kanak-kanak seperti penderaan fizikal pula, terdapat 2,244 kes dilaporkan sejak 2010, kata Rohani.

“Dalam kes itu, pemangsa adalah lelaki dan mangsa adalah wanita,” tambahnya lagi.

Rohani juga berkata yang kementerian sudah melaksanakan beberapa langkah untuk menangani isu tersebut dan membuat pindaan kepada Akta Kanak-Kanak 2016 dan memperkenalkan Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 yang baru.

“Kami juga menubuhkan mahkamah khas untuk mempercepatkan perbicaraan jenayah seksual kanak-kanak yang dilancarkan pada 22 Jun dan perbicaraan pertama berlaku pada 4 Julai lalu,” katanya.  

Antara inisisatif yang diperkenalkan kementerian untuk mendidik dan membantu mangsa ialah kempen sokongan, kursus pra perkahwinan, kursus keibubapaan, rumah perlindungan bagi mangsa kanak-kanak dan talian penjagaan kanak-kanak.

Rohani berkata, mahkamah khusus untuk mengendalikan kes-kes jenayah seksual kanak-kanak juga akan ditubuhkan di 13 negeri lain dimana negeri yang mencatat kes tertinggi akan diberi keutamaan. – 27 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen